Input your search keywords and press Enter.

AJARAN MILLAH ABRAHAM@IBRAHIM


Ajaran Millah Abraham@Ibrahim adalah salah satu daripada ajaran sesat yang menyelinap masuk di Malaysia. Ajaran ini berasal dari Bogor Indonesia. Mereka mendakwa ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad S.A.W telah berakhir sejak tahun 1324 Hijrah dengan kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiyyah akibat serangan puak Monggol ke atas Baghdad yang telah membuang kitab-kitab khazanah Islam ke dalam sungai dan ajaran Islam yang dianuti kini adalah palsu. Pengasas ajaran ini ialah Ahmad Musaddeq yang telah mengaku sebagai rasul baru yang dibangkitkan untuk membaharui ajaran dan membentuk kerajaan Islam yang sebenar.

Golongan ini mendakwa bahawa Millah Abraham@Ibrahim adalah deen(pegangan) besar yang membawa ke jalan yang lurus lagi benar. Allah telah memerintahkan Nabi Muhammad S.A.W untuk berkata bahawa jalan yang lurus adalah jalan yang dibawa oleh Nabi

Ibrahim A.S. Ini bermakna Nabi Muhammad S.A.W telah menegakkan satu sistem kehidupan iaitu sistem Millah Abraham.Setelah kejatuhan Islam pada 1324 Hijrah, mereka mendakwa bahawa golongan musyrik termasuk para ulama’ telah membawaajaran Islam yang palsu dan hendaklah bertaubat dengan memilih kembali deen Millah Abraham@Ibrahim. Ini berdasarkan dalil-dalil yang mereka ketengahkan .

MODUS OPERANDI

Mempunyai premis tetap dan terdapat juga penemuan yang tidak ditentukan lokasinya. Antara premis-premis yang digunakan seperti di rumah pengikut, rumah sewa, bangunan pejabat swasta atau kerajaan, rumah kedai dan seumpamanya.

Pengajian dilaksanakan secara talaqqi (bersemuka) dalam kelompok-kelompok kecil sekitar tiga hingga lima orang dengan dipimpin oleh seorang penyampai (wakil rasul). Mereka yang mengikuti pengajian peringkat awal (pengenalan) akan sentiasa ditemani oleh pendamping (ahli lama) semasa pergi dan balik serta ketika pengajian sehingga proses bai’ah untuk menjadi ahli baru dilaksanakan. Mereka yang telah berbai’ah akan memasuki proses pengajian seterusnya untuk memantapkan iman dan menuju ke jalan yang benar. Penyampai menggunakan nama singkatan dan penampilan mereka pula memakai pakaian biasa yang kemas.

Penyampai menggunakan al-Quran terjemahan sebagai subjek utama dalam pengajian mereka. Penekanan kepada ayat-ayat tertentu untuk dijadikan hujah bagi meyakinkan peserta bahawa Ajaran Millah Abraham@Ibrahim merupakan golongan Islam sebenar dan menanamkan sifat taksub kepada ketua dan ajaran yang dibawa untuk mengembalikan ajaran Islam yang sebenar

melalui ajaran Millah Abraham@Ibrahim. Selain itu, mereka juga menggunakan Injil (Bible) sebagai rujukan utama bersama al-Quran terjemahan tersebut untuk menegakkan deen.

KEAHLIAN

Hasil kajian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati bahawa keahlian kumpulan ini dilakukan secara teliti dan terancang. Latar belakang peserta adalah mereka yang mempunyai latar belakang agama dan kebanyakannya kurang pengetahuan agama serta mempunyai semangat untuk mempelajarinya, kenalan rapat kepada ahli yang sedia ada, mempunyai sumber pendapatan tetap, latar belakang keluarga yang berada serta mempunyai pendidikan akademik yang tinggi.

Keahlian sesama ahli dalam gerakan dirahsiakan serta mempunyai beberapa lapisan pimpinan yang tidak dapat dikenal pasti. Bilangan ahli kumpulan ini di seluruh Malaysia khususnya di Selangor tidak dapat dikesan, namun berdasarkan aduan dan maklumat mendapati bilangannya melebihi 100 orang.

PENEMUAN AJARAN DAN AMALAN YANG BERCANGGAH DENGAN AKIDAH DAN SYARIAH ISLAM

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada aduan bekas pengikut, penyamaran dalam kumpulan terbabit dan sumber lain yang boleh dipercayai mendapati kumpulan ini membawa ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan syariat Islam antaranya seperti berikut:Membawa ajaran dan kerajaan baru Golongan Millah Abraham@Ibrahim mengatakan bahawa Kerajaan Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. telah lama jatuh sejak tahun 1324 Hijrah.Ini bermakna ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. telah tamat dan Islam yang dibawa selepas itu adalah palsu. Justeru, akan muncul umat dan rasul baru atas nama Kerajaan Millah Abraham@Ibrahim pada tahun 2024 yang akan menegakkan deen.

Mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W. Mereka mendakwa bahawa ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu dan satu umat baru akan dipertanggungjawabkan untuk menegakkan deen dan ketika itu Allah akan menghantar rasul atau mesiah (bahasa ibrani) seperti sunnatullah yang terdahulu dan mengikut kaum mereka sendiri.

Mereka menafsirkan bahawa Allah S.W.T. mengutuskan rasul dari kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaumtersebut memahami dan mengajar kaum untuk keluar daripada kesesatan. Maka, Rasul Millah Abraham@Ibrahim diutuskan dari kalangan bangsa Melayu nusantara untuk membaca, menyuci serta mengajar kaum Melayu nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Musadeq sepertimana yang didakwa oleh pengadu dan pengikut ajaran ini.

 Mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti Millah Abraham@Ibrahim Kumpulan ini telah mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti Millah Abraham@Ibrahim termasuk para ulama’ yang dahulu selepas kejatuhan Islam pada tahun 1324 Hijrah sehingga kini kerana Islam yang dibawa adalah palsu dan telah memecahbelahkan agama serta orang Islam itu sendiri. Justeru, taubat boleh disempurnakan dengan memilih kembali deen Millah Abraham@Ibrahim kerana Nabi Ibrahim bukanlah seorang yang musyrik.Mereka yang tidak mengikut diminta bertaubat dengan kembali kepada deen Millah.Mereka juga mengatakan bahawa sesiapa yang menuduh Millah Abraham@Ibrahim ini sebagai sesat, maka sebenarnya mereka yang menuduh itu telah memperbodohkan diri sendiri.

Menggabungkan tiga (3) ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Selain terjemahan al-Quran mereka juga menggunakan kitab Taurat dan Injil di dalam pengajian mereka kerana di dalam al  Quran telah membenarkan kitab Taurat dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan yang menerangi.

Menyalah ertikan maksud Kiamat kumpulan ini mengatakan bahawa Kiamat adalah daripada perkataan Arab iaitu qiam iaitu berdiri atau mendirikan. Perkataan kiamat di dalam al-Quran merujuk kepada menegakkan deen iaitu setelah tamatnya umat ini akan ada rasul baru yang akan menegakkan deen dan sistem ini silih berganti sehingga keputusan Allah untuk menamatkan dunia ini. Mereka mendakwa tiada cerita mengenai kiamat di dalam al-Quran.

Memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri Ayat-ayat al-Quran ditafsir mengikut logik dan bebas mentakwil mengikut fahaman mereka. memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul.Mereka menafsirkan perkataan Ahmad yang disebut di dalam ayat tersebut bukanlah merujuk kepada Nabi Muhammad S.A.W. tetapi adalah merujuk kepada seseorang yang bernama Ahmad.

Meninggalkan solat lima waktu dan solat Jumaat Berdasarkan aduan, pengajian dan penelitian terhadap pengikut-pengikut ahli kumpulan ini, didapati bahawa mereka tidak melaksanakan Solat Fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf. Mereka mengatakan solat itu ”sillah” iaitu hubungan dengan ajaran Millah tersebut dan makna lain iaitu bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Abraham bukan maksud solat yang dilakukan sekarang oleh orang Islam kerana solat tonggang-tonggek itu senang, tetapi solat menegakkan deen itu lebih mujahadah dari segi harta dan tenaga  Selain itu, mereka mengatakan bahawa al-Quran itu telah lengkap dan fungsinya adalah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Tetapi solat lima waktu yang dilakukan sekarang tidak ada disebut di dalam al-Quran. Oleh itu, berdasarkan ayat di atas solat bermaksud bersungguhsungguh menegakkan deen.

Taksub dan memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri Kebanyakan aduan yang diterima telah dan hampir melibatkan perceraian serta membuang keluarga walaupun bapa kandungnya sendiri kerana tidak mahu mengikuti ajaran ini dan sikap taksub oleh pengikut terhadap ajaran yang dibawa. Ini berlaku ke atas pengadu yang dikenali sebagai Salamuddin (Pak Din) yang telah ditinggalkan oleh isteri dan anak-anaknya yang terlibat kerana tidak mahu mengikuti ajaran tersebut. Mereka mengatakan bahawa perempuan yang ingin menyertai Millah Abraham wajib si isteri menuntut cerai dari suaminya jika suami menolak menyertai Millah Abraham atau sebaliknya.

Perjanjian (Bai’ah) oleh anggota Millah Abraham Kumpulan Milah Abraham juga mewajibkan anggotanya untuk membuat aku janji (bai’ah). Amaran kepada sesiapa yang melanggar janji dan ganjaran bagi mereka yang setia pada janji adalah 1.5

KEPUTUSAN FATWA BERKAITAN AJARAN MILLAH ABRAHAM@ IBRAHIM.

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali Ke-28 yang bersidang pada 5 April 2016/ 27 Jamadilakhir 1437H telah membincangkan Ajaran Millah Abraham@Ibrahim dan telah memutuskan bahawa:

Fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut:

Tidak melaksanakan solat lima waktu dan solat Jumaat; atauMembawa ajaran dan kerajaan baharu (Millah Abraham @Ibrahim);

Mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;

 Menggabungkan tiga (3) ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;

 Memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri;Mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W;

Taksub kepada ajaran sehingga sanggup memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri sekiranya tidak mengikuti fahaman dan ajaran ini.

Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim termasuklah:Menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @Ibrahim;

Berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;

Mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain.

Berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan,pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;

Melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;

Mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;

Memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman, audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim;.

Telah berbai’ah (taat setia) dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; atau mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim di Negeri Sarawak.

Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan.

KESIMPULAN Berdasarkan penjelasan, maka jelaslah bahawa Ajaran Millah Abraham@Ibrahim merupakan ajaran bertentangan dari ajaran Islam. Oleh itu, umat Islam disarankan supaya menghindari diri dari fahaman, gerakan, ajaran dan menjauhi segala bentuk amalan atau perbuatan ekstremis yang boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan keselamatan ummah serta Negara. Umat Islam juga dinasihatkan agar sentiasa berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam amnya di Malaysia

Leave a Reply