Input your search keywords and press Enter.

Puteri Gunung Ledang

Setiap rakyat Malaysia pada hari ini, boleh dikatakan mengetahui akan lagenda yang satu ini, Puteri Gunung Ledang. Gunung Ledang, sebuah gunung yang terletak di sempadan daerah Muar, Johor dan Melaka dan kini menjadi lokasi terkenal sebagai destinasi pelancongan. Namun lagenda mengenai seorang puteri yang cantik jelita yang menjaga gunung tersebut, yang sehingga kini dipercayai masih mendiaminya terus menyelubungi gunung tersebut.

Dalam Sejarah Melayu, Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik hingga diingini oleh Sultan Mahmud Shah dari Kesultanan Melaka. Pendekar yang diutuskan meminang ialah Laksamana Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa orang lain. Semasa kecil, Hang Tuah berguru silat di atas Gunung Ledang dan biasa dengan jalan ke puncak Gunung Ledang. Akan tetapi kala ini, umurnya telah terlalu tua untuk ke puncak Gunung Ledang.

Dengan itu, Tun Mamat ditugaskan ke puncak dan menemui seorang nenek tua atau lebih dikenali sebagai Nenek Kebayan yang sebenarnya samaran kepada Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tidak mampu ditunaikan, iaitu:

1 jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka.

1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.

7 dulang hati nyamuk.

7 dulang hati hama.

7 tempayan air mata anak dara.

7 tempayan air pinang muda.

1 mangkuk darah Sultan Ahmad Shah, Melaka, iaitu anak Sultan Mahmud Shah yang masih kanak-kanak lagi.

Semua syarat itu sanggup ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali darah puteranya.Begitulah  lagenda yang diceritakan pada kita sejak turun temurun. Ada orang percaya sebenarnya Puteri Gunung Ledang menyintai Hang Tuah dan enggan mempersuamikan Sultan Melaka. Maka diberikan 7 syarat yang mustahil untuk ditunaikan sebagai kiasan menolak pinangan baginda. 

Lebih mendukakan hati sang puteri, Hang Tuah bagai lembu dicucuk hidung, apabila disuruh Sultan untuk meminangkan sang puteri. Maka hati sang puteri hancur kerana Hang Tuah tidak mempertahankan cinta mereka sebaliknya menumpahkan taat tak berbelah bagi kepada Sultan Mahmud.

Sumber:Bharian,Hikayat Hang Tuah,
Sulalatus Salatin

Leave a Reply