Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Baru : Apa pemimpin perlu tahu?

M Update 18/1/2019 – Sinar Harian menganjurkan forum yang ahli panelnya terdiri daripada ahli Majlis Profesor Negara iaitu Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, Profesor Udang-undang UIAM, Prof Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad, Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri dalam negeri, dan yang terakhir ialah Professor Dr Sivamurugan Pandian, Ahli Sosiologi Politik USM. Forum ini diadakan di Dewan Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam. Forum ini dipengerusikan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar yang merupakan CEO Kota Buku.

Prof Dr Nik Ahmad Kamal menyatakan dalam konteks kerajaan baru, perubahan hanya melibatkan pendekatan, wawasan dan strategi yang baharu serta tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada. Kerajaan semasa perlu mengikut undang-undang dan perlembagaan sedia ada walaupun peralihan kuasa telah berlaku pada 9 Mei yang lalu. Selain itu, dengan mewujudkan kawalan kebebasan bersuara dilihat tidak akan mengancam negara. Oleh itu, Kerajaan tidak akan mengubah sesuatu dalam keadaan terburu-buru bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Disamping itu, Prof Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad menyatakan bahawa harapan tinggi telah diletakkan oleh rakyat terhadap kerajaan baru dari faktor kos sara hidup, gaji dan perumahan kerana pemimpin baru harus tahu cara untuk menangani isu ini dengan serta merta. Ujar Prof Dr Sivamurugam Pandian pula, Malaysia Baru ini tidak boleh muncul sekelip mata kerana usianya masih terlalu muda. Boleh dikatakan bahawa Malaysia Baru ini masih lagi “teraba-raba” dalam mencari arah kerana masih diperingkat “anak-anak”.

Terdapat individu menyuarakan kebimbangan bahawa kerajaan dikawal oleh DAP serta kepentingan orang Melayu terancam. Ujar Prof Madya Datuk Dr Marzuki, tidak ada satu parti yang boleh membuat keputusan secara unilateral terutama sekali perkara-perkara yang penting kerana ia perlu dipersetujui oleh parti-parti yang terdapat dalam Pakatan Harapan malah, perjanjian mempersetujui untuk mempertahankan perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan seperti kedudukan institusi raja-raja, Bahasa Melayu, hak-hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan negara. Kedudukan orang Melayu atau Bumiputera terjamin telah ditandatangani.

Selain itu, terdapat cadangan yang dikemukakan oleh hadirin supaya program-program seperti Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Air Percuma Setiap Bulan dan sebagainya diperluaskan ke negeri-negeri lain. Prof Dr Sivamurugam Pandian mengatakan iannya merupakan satu cadangan yang baik serta boleh dikembangkan ke seluruh negara. Berkenaan dengan isu manifesto kerajaan PH yang diutarakan oleh hadirin, Prof Madya Datuk Dr Marzuki berkata PH sepatutnya menunaikan semua manifesto tersebut tetapi ianya memerlukan masa dan bukan boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat.

Menyentuh mengenai isu kebebasan bersuara dimana setiap perkara harus melalui sesuatu proses kerana “ada perkara boleh dibuat, ada perkara yang tidak boleh dilakukan atas perikatan yang berlaku dari segi sensitiviti pihak-pihak tertentu sebagai contoh dari segi perbezaan kepercayaan sesuatu etnik dan agama” ujar ahli panel.

‘Perjanjian belakang tabir’ adalah merupakan permainan biasa dalam politik. Sekiranya kerajaan mendokong kedaulatan undang-undang, menghapuskan korupsi, intergriti, maka tidak akan wujud apa yang dinamakan perjanjian belakang tabir ini. Kerajaan perlu ada ketelusan supaya tidak akan ada mereka yang mengambil kesempatan menyelamatkan diri apabila keadaan politik berubah.

Berdasarkan perbincangan tersebut, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah mengenai kos sara hidup kerana ia memberi impak secara langsung kepada rakyat. Selain itu, rakyat berharap agar Kerajaan tidak mengambil masa yang lama untuk menangani perkara ini serta tidak meminggirkan golongan berpendapatan sederhana. Usaha yang efektif melalui dasar atau program perlu diperkenalkan oleh kerajaan supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Leave a Reply