Input your search keywords and press Enter.

Bagunan Peninggalan Brooke di Sarawak

LEGASI peninggalan Brooke yang memerintah Sarawak hampir 100 tahun sudah tentu banyak di Sarawak terutama sekali di ibukotanya iaitu Kuching, Sarawak.  Peninggalan dinasti Brooke yang paling terkenal di mata dunia sehingga sekarang adalah kewujudan bangunan-bangunan yang bersenibina renaissance misalnya adalah antara lokasi yang wajib dikunjungi apabila bertandang ke Sarawak Bumi Kenyalang.

Berbicara dari konteks itu di dalam banyak bangunan tinggalan Brooke terdapat satu bangunan yang agak unik kerana ianya sekarang terletak di tengah-tengah bandar Kuching.  Binaannya langsung tidak sama seperti bangunan Brooke yang lain kerana berbentuk bulat menyerupai sebuah kubu.  Bangunan itu dinamakan sebagai “Round Tower” yang masih lagi berdiri utuh dan megah sehingga sekarang.

Menyelusuri sejarah kewujudan Round Tower boleh dijejaki sehingga tahun 1886 iaitu diketika Sarawak dibawah pemerintahan Tuan Rajah Charles Brooke yang memerintah dari tahun 1868 sehingga 1917. Cerita pembinaannya bermula pada tahun 1884 iaitu ketika berlakunya satu kebakaran besar di ibukota Kuching yang hampir memusnahkan banyak bangunan.

Kebakaran besar ini dikenali sebagai Peristiwa Kuching Terbakar 1884 yang yang berlaku pada tanggal 20 Januari 1884.  Kebakaran pada skala besar ini menyaksikan 194 buah bangunan iaitu yang berada di Main Bazaar, Carpenter Street dan Bishopgate Street musnah dijilat api.  Ketiga-tiga kawasan ini merupakan kawasan komersial bagi Kuching dari dahulu sehingga sekarang.

Bangun daripada kemusnahan kebakaran ini menyebabkan Tuan Rajah Charles Brooke mula merancang kembali pembangunan di Kuching.  Dan Round Tower merupakan bangunan pertama yang dibina dan disiapkan pada tahun 1886 iaitu dua tahun selepas tragedi kebakaran berlaku.

Menariknya mengenai Round Tower adalah rekabentuk bangunannya yang bulat.  Dibuka pada tahun 1886 dan berfungsi sebagai kubu pertahanan untuk menjaga keselamatan Kuching pada waktu itu.  Lokasinya yang menghadap Sungai Sarawak sememangnya cukup sesuai untuk dijadikan kubu yang turut menempatkan anggota-anggota pertahanan Sarawak pada waktu itu.

Sekitar tahun 1907 iaitu tatkala bangunan Pavilion siap dibina dan dijadikan sebagai hospital untuk warga Sarawak dan pada masa itulah Round Tower tidak lagi menjadi kubu pertahanan sebaliknya dijadikan bangunan dispensari iaitu sokongan untuk bangunan Pavilion disebelahnya.  Di Round Tower inilah tempat segala ubat-ubatan disimpan dan diagih-agihkan kepada mereka yang sakit.

Ketika Perang Dunia Kedua berlaku iaitu pada tahun 1940an, Round Tower tidak lagi menjadi bangunan dispensari walaupun bangunan Pavilion masih lagi beroperasi sebagai hospital untuk tentera-tentera Jepun.  Sebaliknya Round Tower dijadikan oleh Jeneral Jepun sebagai ibupejabat Propaganda Tentera Jepun.

Dan sekiranya kita melihat gambar-gambar vintaj pasca berakhirnya perang dunia kedua di Sarawak, kita akan melihat satu gambar yang menunjukkan bagaimana satu kain rentang bertulisan jawi digantung di Round Tower yang ditemui oleh Tentera Australia tatkala baru memasuki Kuching pada tanggal 14 September 1945.  Diceritakan sewaktu penggeledahan Tentera Australia, mereka turut menjumpai banyak risalah propaganda Jepun yang ditulis di dalam tulisan jawi berbahasa Melayu serta rumi berbahasa Iban.

Setelah Sarawak menjadi jajahan Koloni Mahkota Sarawak British pada tahun 1946, pihak pentadbiran Koloni British menjadikan ia sebagai sebahagian daripada pejabat pentadbiran Kerajaan Koloni kerana bangunan bersebelahannya iaitu Old Court House merupakan pusat pentadbiran utama.

Ketika itu, jabatan Tenaga Buruh Koloni Mahkota Sarawak British mendominasi Round Tower sehinggalah ianya diambilalih oleh Pejabat Buruh Sarawak, Malaysia pada tahun 1963 sehingga tahun 1980 sebelum berpindah ke bangunan sendiri.  Sejak daripada itu, Round Tower sentiasa digunakan sebagai pejabat sementara oleh pentadbiran Kerajaan Sarawak yang mana akhirnya ianya dihuni oleh Sarawak Kraf bagi menempatkan kraf-kraf Sarawak yang tidak ternilai harganya sehingga sekarang.

Round Tower yang masih kukuh sehingga sekarang merupakan antara saksi bisu berdirinya sebuah negara dari era Brooke, penjajahan Jepun, Koloni British dan Sarawak, Malaysia.

Rujukan:

  1. The Star, 17 January 2017 – Kuching Wonderful Architecture

https://www.thestar.com.my/metro/focus/2017/01/17/kuchings-wonderful-architecture-many-historical-sites-illustrate-the-influence-of-early-settlers/

  • The Star, 19 March 2007 – Enlivening Brooke Legacy

https://www.thestar.com.my/news/community/2007/03/19/enlivening-brooke-legacy/

  • Book; War and Memory In Malaysia and Singapore. Edited by Patricia Pui Huen Lim & Diana Wong
  • Kuching Colonial Heritage
  • peristiwa Kuching Terbakar 1884 – Borneo Oracle

Leave a Reply