Input your search keywords and press Enter.

Garis Panduan Aset Digital Bagi Melindungi Pelanggan.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengeluarkan garis panduan mengenai aset digital termasuk mata wang kripto pada suku pertama ini dan ia mempunyai persamaan dengan garis panduan bursa saham dari segi perlindungan aset pelanggan.

Pengarah Eksekutif Inovasi, Digital dan Strategi SC, Chin Wei Min, berkata ketika ini, terdapat lebih 50,000 akaun aset digital yang aktif di negara ini dan garis panduan itu dikeluarkan untuk memastikan perlindungan terhadap pelabur dan pada masa sama bagi mengelakkan aktiviti pengubahan wang haram serta penipuan agar pasaran berada dalam keadaan selamat dan teratur. Selain itu, pengendali platform aset digital wajib memenuhi keperluan KYC (Know Your Customer) dan AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Garis panduan aset digital itu akan ada sedikit perbezaan dengan garis panduan bursa kerana ia membabitkan pelanggan-kepada-pelanggan (C2C). Pada 17 Januari lalu, SC meminta semua aktiviti penawaran duit syiling permulaan (ICO) dihentikan dan memulangkan semua wang atau aset digital diambil daripada pelabur. Ia susulan peraturan ke atas mata wang kripto dan token digital melalui Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 berkuat kuasa pada 15 Januari lalu.

Pengendali platform sedia ada dinasihatkan menghubungi SC selewat-lewatnya 25 Januari ini, dan sekiranya gagal berbuat demikian, pengendali platform itu dianggap beroperasi dengan melanggar undang-undang sekuriti dan SC akan menetapkan syarat-syarat yang berkenaan untuk menjalankan aktiviti ICO dan perdagangan aset digital serta pasaran aset digital di Malaysia.

Mana-mana orang yang menjalani aktiviti ICO atau mengendalikan pasaran aset digital di Malaysia tanpa kelulusan SC boleh dihukum, apabila disabit, dengan penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta.

Sumber – Berita Harian

Leave a Reply