Input your search keywords and press Enter.

SELANGOR DI ZAMAN KOLONIAL

Negeri Selangor (juga dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan Jawi: سلاڠور) merupakan salah sebuah negeri daripada tiga belas negeri yang membentuk Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia di pantai barat dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Negeri ini juga bersempadan dengan Negeri Perak di utara, Pahang di timur, Negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat.

Sejak dari peringkat awal penubuhannya, Negeri Selangor telah berkembang  sebagai pusat perdagangan dan pengeluaran bijih timah di bawah pemerintahan Kesultanan Selangor. Kuala Selangor memainkan peranan penting ketika itu sebagai pelabuhan utama pengeksportan bijih timah kepada pedagang barat. Kedatangan kuasa British ke Tanah Melayu dan pengenalan Sistem Residen telah membatasi kuasa Sultan dan pemerintah-pemerintah negeri.

Semasa pentadbiran British, sebuah Majlis Mesyuarat Negeri ditubuhkan pada tahun 1877 dengan dianggotai oleh Sultan, Residen Inggeris dan pembesar Negeri. Sultan Selangor ketika itu, Sultan Abdul Samad membentuk Majlis Mesyuarat Negeri berdasarkan kaedah barat dan mengikut panduan Residen Inggeris pada masa itu, Bloomfield Douglas.

Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri yang pertama ialah Tengku Kudin dengan ahli-ahlinya seperti berikut:

1. Kapten Bloomfield Douglas (Residen)
2. Raja Kahar, putera Sultan Abdul Samad (Raja yang menjaga Kajang)
3. Raja Berkat Tengku Panglima Raja (Raja yang menjaga Kanchong)
4. James Innes (Pemungut cukai tanah dan Majistret Langat)
5. Taukeh Yap Ah Loy (Kapitan Cina di Kuala Lumpur)
6. Saiyid Zain (Wakil dan Pengurus Kebun-kebun Tengku Kudin)


Majlis Mesyuarat Negeri bersidang buat pertama kalinya di Klang pada 11 Jun 1877 dan persidangan kali kedua telah diadakan pada 25 Jun 1877. Pada Mac 1880, pemerintahan Negeri Selangor telah berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur. Pemindahan ini juga menyaksikan kuasa pentadbiran pembesar-pembesar Melayu diambil alih oleh pegawai-pegawai Inggeris khasnya Residen Inggeris di Selangor. Tengku Kudin mengambil tindakan meletak jawatan sebagai Yang DiPertua kerana menyedari bahawa kuasa beliau semakin berkurangan. Jawatannya telah digantikan oleh Raja Muda Musa (putera Sultan Abdul Samad), manakala Inggeris menguasai sepenuhnya pentadbiran Negeri Selangor. Selepas kemangkatan Raja Muda Musa pada tahun 1884, Sultan Abdul Samad telah mengambil alih jawatan Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri.


Pada 1 Julai 1896, Negeri Selangor bersama-sama Perak, Negeri Sembilan dan Pahang diletakkan di bawah pentadbiran seorang Residen General dan dinamakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu melalui Perjanjian Persekutuan yang dimeterai setahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, Majlis Mesyuarat Negeri masih terus berjalan di keempat-empat Negeri tersebut. Perubahan seterusnya berlaku pada tahun 1909 dengan penubuhan Majlis Persekutuan yang dianggotai oleh keempat-empat Sultan Negeri tersebut, empat Residen Negeri, empat anggota tidak rasmi dan Residen General. Dalam Majlis ini, Sultan tidak memiliki sebarang kuasa melainkan hanya memberi nasihat kepada pegawai pentadbir Inggeris khususnya dalam perkara-perkara tertentu berhubung dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam.
 

Pada 1927, Sultan Selangor dan Sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang lain telah keluar dari Majlis Mesyuarat Persekutuan. Berikutan itu, pihak Inggeris telah mengambil langkah menambah lagi kuasa Majlis Mesyuarat Negeri dalam bidang pentadbiran dan menambah anggota tempatan.

Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini berterusan sehingga ke tahun 1941 apabila Jepun menyerang Tanah Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah, Selangor diletakkan di bawah pemerintahan British Military Administration (BMA) dari September 1945 hingga awal 1946.

Pihak Inggeris telah mengemukakan gagasan Malayan Union yang menerima tentangan hebat daripada orang-orang Melayu. Ia kemudiannya dimansuhkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Ia terdiri daripada sembilan buah Negeri Melayu (Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang,  Perlis, Kedah, Johor, Terengganu, Kelantan) dan Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura). Pembentukan ini merupakan langkah pertama kepada kemerdekaan.

Leave a Reply