Input your search keywords and press Enter.

Dato’ Seri Dr. Hj. Mohammad Eusuff Teh

Dato’ Seri Dr. Hj. Mohammad Eusuff Teh dikenali sebagai seorang Doktor perubatan Homeopathi yang hartawan dan dermawan serta memiliki sifat-sifat terpuji dan berakhlak mulia, jujur, amanah, sabar, rendah diri dan pemurah.

Meskipun dikenali sebagai seorang yang hartawan, beliau mengamalkan prinsip kehidupan dengan penuh kesederhanaan dan menumpukan perhatian dalam kerja-kerja amal jariah terutamanya di Klinik Homeopathi milik beliau. Disamping memberikan ubat secara percuma kepada pesakit-pesakit dari golongan tidak berkemampuan, beliau juga tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan dakwah dan memberi nasihat agama disamping mengambil berat terhadap masalah mereka.

Berikutan dari kemampuan modal dan kesedarannya untuk menunaikan fardhu kifayah, beliau telah mengasaskan Syarikat Zaitun Industri Berhad, yang merupakan syarikat perintis di Malaysia mengeluarkan produk suci dan halal khusus untuk umat Islam. Disinilah bermulanya slogan “Gunakan Tanpa Was-Was“ yang mencetuskan revolusi  barangan halal dan suci  dibuat oleh orang Islam, untuk pengguna Islam .

Dato’ Seri dan isterinya To’ Puan Rokiah Binti Abdullah dikurniakan seramai enam orang anak, dua daripadanya lelaki iaitu Dato’ Mohd. Raihan dan Dato’ Mohd. Kamal serta empat anak perempuan iaitu Aisha, Faridah , Zaiton dan Siti Haja.  Kesemua anak-anak mereka telahpun mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dengan 16 orang cucu dan 5 orang cicit.

Dato’ Seri menitikberatkan kerja-kerja amal jariah kepada kesemua anak-anaknya dan mengamalkan kaedah membuat kebajikan secara berahsia “tangan kiri tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanan”.  Namun, untuk sesetengah situasi yang memerlukan lebih banyak pertolongan ataupun bantuan berskala besar, beliau membenarkan media massa untuk memaparkan sumbangannya agar liputan tersebut dapat menjadi pencetus motivasi untuk mengalakkan individu dan organisasi lain untuk turut sama memberikan sumbangan.

Dato’ Seri mengasuh anak-anaknya agar mengamalkan sifat TAQWA dan ADIL bukan sahaja sesama manusia malahan kepada makhluk Allah yang lain iaitu haiwan/binatang.  Beliau menekankan bahawa burung sepatutnya menikmati kebebasan untuk terbang bebas dan bukan dikurung dalam sangkar dan sekiranya ingin membela ikan, hendaklah dikolam yang besar dan bukannya didalam tangki ikan yang kecil. Beliau juga tidak menerima perbuatan memukul ataupun menyiksa apa jua binatang dalam apa jua keadaan. Untuk menyokong usaha-usaha mempertahankan hak  haiwan, Dato’ Seri merupakan penderma kepada tabung SPCA, Malaysia iaitu badan yang menghalang Haiwan dari Seksaan.

Kecintaanya pada ketinggian dan kesucian agama Islam terserlah bila ia sering memilih untuk mengunjungi Masjid-Masjid terlebih dahulu disetiap tempat yang beliau dan keluarga lawati apabila keluar melancung ke luar-negara. Dato’ Seri tidak pernah meninggalkan isteri dan anak-anaknya walaupun untuk semalam. Beliau akan membawa mereka bersama-sama ke mana-mana sahaja walaupun untuk urusan berniaga ke luar-bandar. Kasih sayang yang begitu erat menjadi beliau seorang ayah  yang amat akrab dengan semua anak-anaknya.

Dato’ Seri berpesan kepada anak-anaknya supaya sentiasa mempertahankan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Beliau pernah berkata pada anak-anaknya bahawa dia berdoa kepada Allah SWT supaya dia rela dikembalikan kepada Allah SWT dengan serta-merta daripada menjadi orang yang sesat, kerana tiada yang lebih penting dan berharga selain dari agama yang benar, iaitu agama Islam.

Diantara wasiat Dato’ Seri kepada anak-anaknya ialah sentiasa membuat amal kebajikan dengan membantu fakir miskin dan meneruskan pengagihan beras kepada mereka setiap tahun. Secara ringkasnya, amanat dan wasiat beliau diringkaskan seperti berikut :

·         HULURKAN BANTUAN KEPADA MEREKA YANG MISKIN DAN MEMERLUKAN

·         JANGAN MEMBURU, MENGURUNG DAN MENYEKSA BINATANG

·         BEBASKAN BURUNG-BURUNG DAN MAKHLUK YANG TIDAK BERDOSA

·         NASIHATI ORANG LAIN SUPAYA BERHENTI MEMBUAT KEKEJAMAN SEMOGA ANDA JUGA MEMPEROLEHI PAHALA

·         SETIAP AMAL PERBUATAN PASTI ADA BALASANNYA

Allahyarham Dato’ Seri Dr. Hj. Mohammad. Eusuff Teh telah kembali kerahmatullah pada 15 Muharram 1425H bersamaan  18hb. March, 2003.Meskipun selepas ketiadaan beliau, legasi Klinik Homeopathi Dato’ Seri terus beroperasi  meneruskan kerja-kerja amal jariah yang dimulakan oleh beliau. Anak-anak dan cucu-cucunya pula menjunjung tinggi amanat dan wasiat Dato’ Seri dalam meneruskan kerja-kerja amal jariah dengan membentuk TABUNG AMAL KEBAJIKAN ALLAHYARHAM DATO’ SERI DR. MOHAMMAD. HJ. EUSUFF TEH bagi melaksanakan kerja-kerja amal kebajikan dengan lebih tersusun sehingga kini.

Leave a Reply