Input your search keywords and press Enter.

11,382 peserta CuepacsCare terima rawatan di hospital pakar swasta

M-Update,29/1/2018 KLANG. – Sebanyak 11,382 penjawat awam dan ahli keluarga mereka yang menyertai Program Takaful CuepacsCare anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menerima manfaat rawatan di hospital pakar swasta sepanjang 2018.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, kesemua peserta itu telah mendapat rawatan perubatan di hospital pakar dengan tuntutan berjumlah RM42 juta yang ditanggung sepenuhnya di bawah program takaful tersebut sekali gus mengurangkan beban penjawat awam.

Menurutnya, antara jenis penyakit yang paling banyak dirujuk peserta CuepacsCare ketika mendapatkan rawatan penghospitalan sepanjang tahun lalu ialah pneumonia, cirit-birit, influenza, demam denggi, akut pernafasan dan penyakit berkaitan buah pinggang.

“CUEPACS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Medicare Assistance Sdn. Bhd. (Medicare) yang berjaya mengendalikan CuepacsCare dengan cemerlang. Secara purata jumlah tuntutan yang dibayar sebulan untuk penjawat awam yang menyertai ialah sekitar RM3.5 juta.

“Dengan bayaran bulanan serendah RM35 bagi pelan individu dan RM85 pelan keluarga CuepacsCare, penjawat awam di negara ini mampu memiliki kad kesihatan bagi mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta.

“Saya berharap penjawat awam ambil kesempatan ini untuk menyertai CuepacsCare,” katanya dalam Program Latihan Keusahawanan MyCuepacsCare di sini, semalam.  “Program CuepacsPA merangkumi perlindungan kewangan untuk kematian, kecacatan anggota badan sama ada kecacatan kekal, penuh atau separa pada kadar caruman serendah RM6 sebulan dengan nilai pampasan sehingga RM440,000.

Mengulas mengenai Program Latihan Keusahawanan MyCuepacsCare, Azih berkata, program tersebut telah memasuki siri ketiga bertujuan meningkatkan aktiviti promosi CuepacsCare dan CuepacsPA kepada penjawat awam melalui aktiviti pemasaran oleh usahawan berkaliber MyCuepacsCare.

“Sehingga kini, seramai 240 usahawan MycuepacsCare telah menjalani latihan yang disediakan Medicare termasuk 70 peserta pada hari ini. Adalah menjadi harapan CUEPACS agar setiap warga penjawat awam mendapat perlindungan takaful tambahan untuk diri dan keluarga,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply