Input your search keywords and press Enter.

JUNGLE GREEN : KISAH PENENTANGAN PENGGANAS KOMUNIS DI SEMENYIH.

Naskah Jungle Green ini diterbitkan dalam tahun 1953, ianya merupakan catatan Major Arthur Campbell, seorang bekas anggota tentera British yang berkhidmat di Malaya didalam The Suffolk Regiment. Major Arthur Campbell terlibat didalam operasi menentang pengganas komunis selama tiga tahun setengah di Malaya. Dalam tempoh tersebut, Regimen Suffolk telah berhadapan dengan ancaman komunis yang diketuai oleh Liew Kon Kim, yang juga dikenali sebagai “Wira Berjanggut” kerana menyimpan janggut bagi kaum cina pada masa itu adalah sesuatu yang janggal. Liew Kon Kim merupakan ketua kepada sayap komunis yang dikenali sebagai ‘Malayan Races’ Liberation Army’, pasukan ini juga dikenali sebagai ‘Geng Kajang’ kerana pusat operasi mereka adalah di Kajang dan kawasan sekitarnya termasuk Semenyih.

Sepanjang menjalankan operasi, pasukan Arthur Campbell telah bekerjasama dengan pasukan Polis Daerah Kajang yang diketuai oleh Jock MacFadden. Pasukan tentera dilihat lebih berkesan dalam memerangi komunis kerana mereka dilatih dengan kemahiran bertempur didalam hutan berbanding pasukan polis.

Antara peristiwa kekejaman komunis yang diceritakan oleh Arthur Campbell ialah, pembunuhan keluarga Ah Chong di Broga. Ah Chong dikatakan telah dibunuh oleh pasukan komunis yang diketuai oleh Liew Kim Bok.Pembunuhan Ah Chong sekeluarga ini dikatakan bermotifkan dendam,  kerana sebelum itu Ah Chong dikatakan telah memberi maklumat kepada pasukan polis dimana terletaknya kawasan perkhemahan komunis di Broga, akibatnya pasukan polis telah melakukan serangan keatas kawasan yang dimaksudkan lalu berjaya membunuh tiga orang pengganas komunis.

Pasukan Polis kemudiannya telah menawarkan perlindungan kepada Ah Chong dan keluarganya dengan menyarankan mereka berpindah dari kawasan dimana mereka tinggal sekarang, tetapi ditolak oleh isteri Ah Chong. Nasib malang kemudiannya menimpa Ah Chong, beliau bersama isteri serta anak perempuannya yang masih kecil telah dibunuh dengan kejam di kediaman mereka. Menurut Arthur Campbell, komunis dipercayai telah membunuh isteri Ah Chong dahulu, diikuti anaknya yang ditembak tepat di jantung dan akhir sekali Ah Chong yang maut akibat tembakan bertubi-tubi ke tubuhnya.

Hasil siasatan pihak polis, dipercayai ada talibarut komunis yang berada di Kajang telah melaporkan kepada Liew Kim Bok bahawasanya mereka telah menyaksikan Ah Chong berada di Balai Polis Kajang, beberapa detik sebelum pasukan polis menghantar pasukan menyerang kedudukan komunis di Broga. Peristiwa pembunuhan Ah Chong telah dipandang serius oleh pasukan Polis dibawah pimpinan McFadden, lalu beliau berusaha mendapatkan maklumat daripada penduduk sekitar Broga tentang Liew Kim Bok serta peristiwa pembunuhan Ah Chong, malangnya tiada yang berani membuka mulut. McFadden kemudiannya memperkenalkan satu kaedah bagaimana penduduk boleh menyalurkan maklumat kepada pasukan polis tanpa perlu pergi ke Balai Polis. McFadden memberitahu kepada para penduduk, sesiapa yang mempunyai maklumat tentang komunis boleh menulis surat yang mengandungi maklumat yang mereka tahu dan memasukkannya ke dalam peti pos di Pejabat Pos Broga. Kaedah ini juga tidak berkesan kerana kebanyakkan penduduk dikawasan setinggan di Broga itu tidak boleh menulis, lalu McFadden mencadangkan keseluruhan kampung itu perlu dipindahkan ke kawasan lain dibawah rancangan “Kampung Baru” di Semenyih.

Selain Broga, kedudukan komunis  di Semenyih termasuklah di sekitar kawasan Sungai Semenyih (tidak pasti jika ianya merujuk kepada sungai tekala ), Lenggeng (dirujuk sebagai Rengging oleh Arthur Campbell) serta kawasan ladang getah sekitar Semenyih. Penempatan semula kaum cina di Kampung-kampung baru telah mewujudkan beberapa penempatan di negeri selangor, antaranya Broga Tarun, Sungai Chua, Kg. Balakong, Batu. 9, Cheras dan lain-lain. Pangkat terakhir Major Arthur Campbell didalam tentera British ialah Leftenan Kolonel.

Leave a Reply