Input your search keywords and press Enter.

Fahaman-Fahaman Sesat Klasik

Ajaran sesat adalah sebarang ajaran yang didukungi oleh orang Islam atau bukan Islam sedangkan ia bertentangan dengan Al-Qur’an, As-Sunnah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau fatwa-fatwa ASWJ dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Antara fahaman yang sesat dari sudut kepercayaan atau akidah adalah fahaman-fahaman klasik dalam pemikiran Islam yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wan Jamaah seperti:

  1. Fahaman Syiah iaitu  fahaman yang melampau dalam mengagungkan kedudukan Sayidina Ali RA dan kaum kerabatnya. Syiah turut digelar Rafidhah bermaksud fahaman yang menolak kepimpinan Sayidina Abu Bakar RA, Sayidina Umar RA dan Sayidina Uthman RA bahkan mereka mengkafirkan dan melaknat para sahabat dan isteri Nabi s.a.w. 
  2. Murji’ah iaitu pemikiran yang muncul pada zaman awal Islam yang berpegang pada fahaman penangguhan hukum terhadap orang-orang yang melakukan maksiat sehingga ke hari kiamat. Murji’ah juga berpandangan maksiat tidak memberi kesan kepada iman dan ketaatan tidak memberi kesan kepada kekufuran.
  3. Khawarij secara literal bermaksud “mereka yang keluar”. Khawarij pada asalnya adalah kelompok Muslim yang pada mulanya menyokong Sayidina Ali Bin Abi Talib RA tetapi kemudian menolak kepemimpinan Sayidina Ali RA selepas berlakunya Majlis Tahkim antara Sayidina Ali RA dan Sayidina Muawwiyah RA. Menurut Khawarij, orang Islam yang melakukan dosa besar adalah kafir.
  4. Qadariyyah adalah fahaman yang berpendapat bahawa perbuatan manusia adalah berdasarkan kepada kehendaknya semata-mata tanpa ketentuan atau qadak dan qadar Allah SWT. Ini bermaksud manusia sepenuhnya berkuasa dan bertanggungjawab terhadap perbuatannya. Lawan terhadap fahaman Qadariyyah ialah Jabariyyah.
  5. Jabariyyah dinisbahkan kepada Al-Ja’d Bin Darham dan muncul pada awal zaman pemerintahan Umayyah. Jabariyyah berpendapat bahawa manusia tiada daya membuat pilihan bahkan terpaksa melakukan sesuatu perbuatan. Ini bermaksud segala yang berlaku terhadap manusia adalah takdir dan ketentuan Allah SWT.
  6. Muktazilah dinisbahkan kepada Wasil Bin ‘Ata’ dan muncul pada awal kurun kedua Hijrah. Muktazilah berpegang pada lima prinsip atau asas kepercayaan iaitu; [i] Al-Tauhid (Tauhid), [ii] Al-‘Adl (Keadilan), [iii] Al-Wa’d Wa Al-Wa’id (Janji ganjaran dan ancaman), [iv] Al-Manzilah Bayna Al-Manzilatain (Kedudukan antara keimanan dan kekufuran) dan, [v] Al-Amr Bi Al-Ma’ruf Wa Al-Nahy ‘An Al-Munkar (Menyuruh yang makruh dan mencegah yang mungkar).

Sumber – Majlis Agama Islam Selangor

Leave a Reply