Input your search keywords and press Enter.

Inilah Dia Penulis Cerita Seram Mastika

Othman Wok ketika menjadi Menteri Hal Ehwal Masyarakat meletakkan batu asas bangunan baru Majlis Perkhidmatan Masyarakat Singapura di Penang Lane, Singapura.

M Update, 31/1/2019 – Nama Othman Wok kekal sebagai pelopor cerita-cerita seram di Mastika biarpun beliau sebenarnya merupakan Pengarang Berita Utusan Melayu (1950) sehingga dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarang Utusan Melayu pada 1957.

Menurut Zainuddin Maidin dalam buku Pertama dan Terakhir (1980), Othman sudah lama terkenal dengan cerita-cerita seram dalam Mastika dan Utusan Zaman era 1950-an dan beliau berkhidmat agak lama iaitu hampir 20 tahun dengan Utusan Melayu.

Ini kerana, satu hobi Othman yang paling menarik ialah minatnya menulis cerita-cerita hantu dan seram di lokasi tertentu apabila beliau menginap di hotel, rumah tumpangan dan kawasan misteri yang dilawa­tinya di seluruh dunia.

MASTIKA keluaran Jun 1961 mempamerkan cover wanita sebagai tarikan pembaca.

Antara cerita seram tulisan Othman yang paling ter­kenal ialah Di Bawah Pohon Beringin dan Wanita Bergigi Emas yang pernah disiarkan oleh Mastika era 1950-an.

Artikel seram seperti yang ditulis Othman Wok era 1940-an dan 1950-an dalam Utusan Zaman dan Mastika amat diminati ramai sekaligus beliau mempelopori kisah seram dan hantu di Tanah Melayu era tersebut.

Mastika yang diterbitkan pada 1941, merupakan majalah pertama terbitan Utusan Me­layu ketika beroperasi di Cecil Street, Singapura di bawah pengarang pertamanya Abdul Rahim Kajai.

Zainuddin Maidin yang pernah bekerja secara langsung di bawah seliaan Othman sebagai Pengarang Berita, mengakui beliau mengenali Othman yang menulis cerita-cerita seram dalam majalah Mastika era 1950-an.

“Beliau (Othman) bukanlah seorang yang menakutkan dan menyeramkan (se­perti watak-watak ditulis dalam karyanya di Mastika), malah seorang yang amat menyenangkan, periang dan tidak tahu marah, tetapi serius di dalam kerjanya. Ketika itu Othman adalah seorang News Editor Utusan Melayu” (Zainuddin Maidin 1980).

MASTIKA keluaran sulung pada 1941 yang diterbitkan di Cecil Street Singapura. Pengarang pertama
Mastika ialah Abdul Rahim Kajai.

Zainuddin Maidin dalam buku Saya Bukan Menteri: Memoir Wartawan Negara Zainu­ddin Maidin (2016) menyatakan, Othman seorang yang kacak, berambut ketak, tinggi lampai, sentiasa berpakaian kemas dan bertali leher.

Menurut Zainuddin Maidin lagi, walaupun ketika itu fes­yen berambut panjang belum popular tetapi Othman selalu kelihatan berambut panjang kerana se­ring menangguhkan bergun­ting kerana kesibukan tugas di Jabatan Pengarang Utusan Melayu. Beliau akan berada di pejabatnya seawal pukul 9.30 pagi mengetuai Jabatan Pengarang yang sibuk dan aktif, membuat perse­diaan ‘follow-up’ berita dan inisiatif bagi meningkatkan kualiti pembe­ritaan akhbar Utusan Melayu dan selalunya akan pulang lewat malam.

“Setiap hari sebelum pulang beliau akan singgah di mesin te­leprinter luar negeri dan beliau pasti akan mengambil satu dua berita yang dirasakan menarik dan menterjemahkannya sendiri. Ke­mudian beliau memberikan kepada Osman Abadi yang ketika itu menjadi penyunting muka satu dan muka belakang” (Zainuddin Maidin 1980: 20).

Pejabat editorial Utusan Melayu di Cecil Street Singapura pada tahun 1948.
Di kanan A.Samad Ismail.

Walaupun Othman Wok bekerja seolah-olah beliau akan kekal selama-lamanya di Utusan Melayu tetapi tiada siapa pernah menyangka beliau berhenti untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Singapura 1963 dan memenangi kerusi Ahli Parlimen Pasir Panjang. Othman yang begitu rapat dengan Pre­siden Pertama Singapura, Yusof Ishak dan Perdana Menteri pertama, Lee Kuan Yew dilantik sebagai anggota kabinet pertama republik itu sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial Singapura (1963-1977).

Sumber: Utusan Online

Leave a Reply