Input your search keywords and press Enter.

Disebat Kerana Berkhalwat

M Update, 1/2/2019 – Dua remaja di Banda Aceh dihukum sebat pada Khamis setelah ditangkap kerana berpelukan semasa berada di tempat awam.

Remaja perempuan yang merupakan seorang mahasiswa dan teman lelakinya, kedua-duanya 18 tahun, disebat sebanyak 17 kali di sebuah masjid di ibu negeri Aceh, Banda Aceh.

Hukuman tersebut disaksikan ratusan penduduk tempatan.

Sementara itu, seorang lelaki berumur 35 tahun juga disebat kerana bermesra dengan seorang wanita, 40 tahun, di sebuah kedai runcit tempatan.

Keempat-empat pesalah dikenakan hukuman penjara selama beberapa bulan sebelum menjalani hukuman sebatan tersebut.

Datuk Bandar Aceh, Aminullah Usman berkata hukuman sebat dilaksanakan bukan bertujuan untuk mencederakan pesalah.

“Hukuman sebat itu bukan bertujuan untuk mencederakan pesalah.

“Jika terdapat bukti perubatan yang mengatakan pesalah tidak cukup sihat untuk disebat, maka hukuman tersebut akan ditangguhkan, bukan dibatalkan,” kata Aminullah.

Berpelukan antara lelaki dan wanita bukan mahram merupakan satu jenayah di bawah Undang-undang Syariah di Aceh, Indonesia.

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang mengenakan hukuman rotan terhadap pelbagai kesalahan termasuk berjudi, minum arak, hubungan sejenis (LGBT) atau seks luar nikah.

Sumber: Astro Awani

Leave a Reply