Input your search keywords and press Enter.

Dr Amalina berehat dari Twitter

M Update, 1/2/2019 – Dr Nur Amalina Che Bakri yang pernah mencatat sejarah dengan kejayaan meraih 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004 terpilih menerima Darzi Academic Clinical Fellowship di Imperial College London, baru-baru ini.

Kejayaan itu dikongsikan oleh Dr Nur Amalina yang juga Duta Akademik BH melalui akaun twitter beliau @dramalinabakri. Melalui perkongsian itu, beliau turut menyatakan rasa syukur di atas anugerah berkenaan, malah akan meneruskan kerja keras dan membuatkan Malaysia bangga dengan pencapaiannya di masa depan.

Dr Nur Amalina sebelum ini pernah tersenarai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di United Kingdom dan kerajinannya berkongsi maklumat mengenai kesihatan dan kisah harian di media sosial membuatkan gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menjadi idola generasi muda.

Kejayaan itu juga mendorong Dr Nur Amalina membuat keputusan untuk berehat seketika daripada berkongsi ilmu dan pandangan mengenai kesihatan di laman sosial twitter bagi memberi tumpuan kepada latihan pakar dalam pembedahan umum, matlamat kerjaya dan pengajian Doktor Falsafah (PhD) ketika ini.

Katanya, dunia sudah memasuki 2019 tetapi masih banyak kebencian dan aura negatif yang disebarkan apabila seseorang individu itu mahu membuat kebaikan kepada orang lain. Niat saya cuma satu iaitu berkongsi ilmu pengetahuan dan memberikan kesedaran mengenai kesihatan kepada masyarakat di atas kapasiti saya sebagai doktor.

“Mungkin sesetengah rakyat Malaysia masih belum bersedia untuk mengubah minda mereka ke arah positif dan kemajuan, dan saya harus mengatakan bahawa saya kecewa dengan situasi itu. Oleh itu, lebih baik jika saya menumpukan kepada apa yang saya lakukan untuk kebaikan saya sendiri,” katanya di laman sosial twitter baru-baru ini.

Keputusan itu juga dibuat kerana ingin memberi lebih tumpuan kepada Darzi Academic Clinical Fellowship dan tidak menolak bahawa ia turut di dorong oleh rasa terkilan dengan sesetengah pengguna Facebook yang suka memutar belit isu perubatan yang disampaikan di laman sosial twitter. – BH Online

Leave a Reply