Input your search keywords and press Enter.

Kapal Berhimpit Tengah Laut, Dicurigai

M Update, 4/2/2019 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua kapal disyaki sedang melakukan pemindahan minyak secara haram dianggarkan bernilai RM130,000 di perairan Kemaman, dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, berkata kedua-dua kapal itu ditahan kira-kira jam 10.10 pagi pada kedudukan tiga batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Kemaman.

Beliau berkata, terdahulu kapal APMM yang sedang melakukan rondaan rutin, terserempak dengan dua kapal yang kelihatan rapat antara satu sama lain.

“Curiga dengan keadaan itu, kapal APMM bertindak menghampiri dua kapal berkenaan sebelum mendapati ia sedang melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal.

“Siasatan kami mendapati kapal berkenaan sedang memindahkan 50,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM130,000 tanpa kebenaran atau permit sah daripada Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati kapal terbabit ada sembilan anak kapal terdiri daripada empat lelaki tempatan dan lima warga Bangladesh berusia antara 22 hingga 56 tahun.

“Dua kapal berkenaan kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, ” katanya.

Rashidilhadi berkata, APMM memandang serius kes itu dan sentiasa meningkatkan pemantauan terhadap kapal bersauh di perairan negara bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang.

“Selain itu, kita meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan Terengganu,” katanya.

Sumber:Berita Harian

Leave a Reply