Input your search keywords and press Enter.

VOON KEN HONG GADAI NYAWA TAWAN PENGGANAS KOMUNIS

SUASANA di hadapan pusat beli belah Globe Silk Store, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada tanggal 2 Mac 1988 agak tenang kerana para peniaga baru membuka perniagaan masing-masing.

Namun tiada siapa menyangka sekumpulan anggota Pasukan F, Cawangan Khas E3 (M) Bukit Aman termasuk Inspektor Voon Ken Hong sedang bersiap sedia di situ bagi menjalankan satu operasi sulit untuk menawan musuh negara.

Segalanya perlu berjalan seperti dirancang kerana musuh yang akan ditawan bukannya penjenayah biasa tetapi merupakan Ketua Unit Penggempur ke-6 Parti Komunis Malaya (PKM), Chong Chor.

Keng Hong dan rakan-rakannya diarah untuk menawan hidup-hidup pengganas komunis yang sangat dikehendaki pasukan keselamatan itu dan misi tersebut perlu dilakukan sehingga berjaya.

“Segala pergerakan hari itu dirancang dengan teliti kerana jika tersilap langkah sudah pasti akan ada pertumpahan darah dan kekecohan.

“Tambahan pula, lokasi operasi adalah di tempat awam, maka menjadi tanggungjawab pasukan kami agar orang ramai yang berada di kawasan terbabit tidak menyedari apa yang berlaku bagi mengelakkan kekecohan dan perkara tidak diingini,” katanya kepada Mega Wira baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai operasi yang dikenali Op Taloong itu, Ken Hong yang kini berusia 61 tahun memberitahu, operasi itu memerlukan beliau dan dua rakan setugas, Konstabel Detektif Ku Shariman Ku Hashim dan Konstabel Detektif Ahmad Tajuddin Ishak menaiki kereta mengekori Chong Chor dari Cheras menuju ke ibu negara.

Ujarnya, ketika itu Chong Chor yang bersama orang kanannya, Yeong Nam sama sekali tidak menyedari diri mereka diintip dan diekori Pasukan F.

“Chong Chor menaiki sebuah kereta yang dipandu seorang tali barut komunis telah berhenti di hadapan Globe Silk Store untuk menuju ke kedai buku.

“Sebaik sahaja pemandu mereka keluar dari kereta, tanpa berlengah dua kenderaan yang dinaiki anggota Pasukan F terus menghampiri kereta mereka sebelum saya dan beberapa rakan keluar memberkas kedua-duanya,” cerita anak kelahiran Perak ini.

Menurut Ken Hong, antara pengalaman yang paling diingati sepanjang operasi itu adalah ketika dia memegang Chong Chor dan merentapnya keluar daripada kenderaan dinaikinya untuk dibawa masuk ke dalam sebuah van tanpa disedari orang ramai.

“Walaupun ketika itu, nyawa saya terdedah dengan bahaya kerana musuh membawa senjata, saya bersyukur kerana operasi itu dapat dilakukan tanpa sebarang kecederaan.

“Jika tersilap, sudah pasti nyawa saya melayang dan itu adalah pencapaian terbesar saya bersama Pasukan F kerana berjaya memberkas ketua komunis paling berbahaya,” katanya yang dianugerahkan Panglima Gagah Berani (PBG) atas kejayaan tersebut.

Mengimbau kembali kenangan ketika menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), bapa kepada empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan Wong Yen Moi, 57, berkata, ketika itu dia hanya berkelulusan MCE.

Ujarnya, beliau memohon jawatan pegawai polis pada tahun 1979 dan ditugaskan dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) pada tahun 1982 sebelum terpilih menyertai Pasukan F pada 1988 sehingga 1991.

Tambah Ken Hong, beliau kemudian ditukarkan ke Cawangan Khas Bukit Aman dan pernah bertugas di dua Ibu Pejabat Polis Daerah di Perak sebagai pegawai penyiasat.

“Bagaimanapun, pada tahun 1997, ketika usia saya 40 tahun, saya memilih untuk bersara awal dalam PDRM, namun pengalaman menentang dan menawan pengganas komunis bersama Pasukan F tidak akan saya lupakan,” katanya.

Leave a Reply