Input your search keywords and press Enter.

Pahlawan Melayu Terbilang Kesang

Tok Laji merupakan anak kepada pembuka kawasan Kesang bernama Lahir atau Mo’en dan juga dikenali sebagai Tok Kesang. Berasal dari keturunan Bugis, beliau telah dilantik menjadi Penghulu, Pawang Diraja, Imam Besar dan wakil Sultan Di Jajahan Kesang semasa Johor di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah III pada tahun 1790-an dan Sultan Husain pada 1820-an. Beliau juga merupakan orang kanan Temenggong Muar pada zaman Engku Buruk, Dato’Kamil (Sonet atau Konik) dan Engku Said. Beliau telah dididik dengan ilmu keagamaan serta ilmu persilatan oleh bapanya sendiri sejak dari kecil.

Pada usia yang muda beliau telah digelar panglima kerana kepintaran, keistimewaan, keberanian dan kehandalannya dalam menghadapi suatu cabaran. Beliau bukan sahaja dapat mewujudkan zon perniagaaan diantara Muar, Melaka, Kelang dan Kuala Selangor yang menjadikan kawasan ini bertambah luas,aman dan makmur bahkan diberi kepercayaan sebagai orang tengah di dalam peristiwa isu pertelingkahan ketika perlantikan Sultan Ali menjadi Sultan Johor Pada Tahun 1835. Dikatakan salah satu kehebatannya ialah dapat mematikan dan menahan pergerakan angin sehingga menyebabkan kapal-kapal dan perahu dagang penjajah tidak dapat bergerak dan sekaligus memudahkan beliau menyerang serta merampas barang dagangan dari pihak musuh.

 Kemudian hasil dari rampasan tersebut dibawa ke Pantai Layang dan Pulau Penarik di Sungai Muar sebelum diedarkan kepada penduduk tempatan. Beliau merupakan antara pejuang Melayu yang turut serta berperang menentang Belanda bagi membantu bapa saudaranya Raja Haji sehingga dapat meletupkan kapal perang Belanda bernama Malakka’s Welvaran yang menyebabkan Ketua Pemerintah tenteranya Arnolds Lemker terkorban dan beliau juga telah berjaya meletupkan kapal Dolphin yang membawa mayat Raja Haji. Pada tahun 1785, beliau telah membantu sepupunya iaitu Sultan Ibrahim Shah, Sultan Selangor ke II bersama orang Pahang yang di kirimkan oleh Bendahara Abdul Majid untuk menyerang dan merampas kembali Kota Kuala Selangor dari pihak Belanda. Isteri Tok Laji bernama Raja Limah, merupakan anak sulung kepada seorang anak Raja Bugis bernama Raja Mahmud, berkaum dengan Raja Ahmad yang terkenal dengan gelaran Bugisnya Suliwatang atau Saliwatang.

Raja Mahmud dan keluarganya menetap di Kuala Langat, Selangor yang merupakan sebuah penempatan masyarakat Bugis yang terbesar di rantau semenanjung Tanah Melayu ini. Dengan kehandalannya yang istimewa itu, maka tidak hairanlah Tok Laji dapat beristerikan anak Raja Mahmud. Tok Laji juga dipandang tinggi oleh Kerabat DiRaja Bugis. Daerah Kesang hingga ke sempadan Negeri Sembilan dan juga sebahagian dari Negeri Melaka hingga ke Umbai pada waktu itu masih lagi didalam pemerintahan Sultan Ali setelah baginda menyerahkan pentadbiran Negeri Johor Darul Takzim kepada Temenggong Daeng Ibrahim dalam tahun 1855 masihi. Sewaktu zaman pentadbiran Sultan Ali, baginda telah melantik seramai 22 orang penghulu untuk mentadbir setiap mukim. Penghulu-penghulu ini diberi kuasa penuh untuk memunggut cukai dan hasil di kawasan masing-masing. Maka dari sinilah pula berlakunya berbagai penyelewengan dan kecurangan yang menjadikan pemerintahan Sultan Ali berada dalam keadaan lemah dan kucar-kacir.

Walau bagaimanapun, Sultan Ali sebagai seorang Sultan yang memerintah wilayah utara Johor telah melakukan pentadbiran dan adat istiadat berkerajaan seperti biasa. Baginda mempunyai 2 buah Istana iaitu sebuah di Umbai dan sebuah lagi di Kuala Kesang. Pada setiap tahun sewaktu menyambut hari ulangtahun keputeraan baginda, akan diadakan majlis keramaian dan adat bersiram dimana semua penghulu-penghulu di undang khas. Pada kebiasaanya akan diadakan adat bersiram di atas Panca-Persada setinggi 7 tingkat dimana penghulu-penghulu inilah yang akan menyiramkan air ke tubuh baginda. Tok Laji bagaimana yang telah sedia maklum memang mempunyai beberapa kelebihan yang istimewa tertentu. Dalam tahun yang pertama beliau dilantik menjadi Penghulu Kesang Tasik, sewaktu istiadat bersiram ini beliau adalah orang yang ke-7 yang akan menyiram tubuh Sultan Ali.  Setiap penghulu dikehendaki menyiram 10 timba air ketubuh Sultan Ali. Tetapi bagi Penghulu Laji hanya 3 timba sahaja Sultan Ali sudah tidak tahan mengigil kesejukan dan baginda meminta dihentikan siraman tersebut.

Maka pada hari itu juga Tok Laji dilantik menjadi Penghulu Besar,Pawang Di Raja dan Imam bagi Kampung Kesang Tasik. Lebih kurang 5 tahun sahaja Tok Laji menjadi Penghulu di Kesang Tasik dan semua kawasan telah dibuka maka ia pun membuka sebuah kampung lagi di sebelah ulu mudik Sungai Kesang iaitu kira-kira tiga batu jauhnya dari Kesang Tasik, yang sebelah kanannya dinamakan Gelugor dan disebelah kirinya dinamakan Teluk Gong (kini didalam jajahan Negeri Melaka). Di Teluk Gong ini merupakan kawasan khas hanya untuk penanaman padi hinggalah sekarang dan di Gelugur tempat bertanam kelapa, pisang, pinang dan lain-lain. Setelah tiga tahun dia menetap di Gelugur (Kesang Tasek) beliau telah kembali rahmatullah menyahut panggilan illahi. Pusaranya terletak di tepi Sungai Kampung Gelugur. Suatu pekara yang agak ganjil adalah kini pusara Allahyarham Tok Laji telah membusut tinggi dan dinaungi oleh pokok-pokok besar di sekelilingnya

Leave a Reply