Input your search keywords and press Enter.

‘Saya maafkan jika datang berjumpa saya’

M Update, 15/2/2019 – Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar Misha kecewa dengan tindakan beberapa pengguna media sosial yang menyebarkan fitnah apabila mengaitkan dirinya menggunakan ilmu sihir dan khurafat untuk memperoleh kemenangan di Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33), baru-baru ini.

“SAYA nak bertemu dengan pelaku yang menyebarkan fitnah ini. Saya nak tahu juga apa salah saya,” kata penyanyi popular Misha Omar yang memberi tempoh tujuh hari kepada beberapa individu yang menyebarkan fitnah terhadapnya di media sosial.

Dalam AJL 33, Misha yang mempertaruhkan lagu Sampai Bila diangkat sebagai pemenang Vokal Terbaik dan lagu berkenaan turut mendapat tempat ketiga. Misha dalam sidang media di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini mahu individu terbabit bertemu empat mata dengannya bagi menjelaskan fitnah yang dibuat serta membuat permohonan maaf tanpa bersyarat.

“Saya rasa bertanggungjawab untuk diri sendiri kerana saya tak nak kerjaya yang dibina selama 17 tahun ini dibiarkan begitu saja oleh kata-kata yang tidak benar.

“Jadi saya rasa terpanggil untuk menuntut keadilan apabila sudah membuat dua laporan polis di Balai Polis Kota Damansara dan Balai Polis Salak Selatan selepas mendapati fitnah yang dibuat mereka semakin berleluasa serta melantik peguam. Kata-kata yang mengaitkan saya mengamalkan ilmu sihir atau khurafat memang tidak boleh diterima. Ia menjejaskan reputasi saya,” katanya yang turut membuat laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Dalam sidang media itu, Misha turut ditemani dua peguam iaitu Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim. Menurut Misha, sekiranya pihak terbabit tampil bertemu dengannya dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini, dia tidak keberatan untuk memaafkan tindakan mereka itu.

“Saya nak bertemu dan bertanya bagaimana mereka tahu mengenai perkara yang ditulis di media sosial itu. Lagipun kita tidak saling mengenali jadi lebih baik bersemuka. Saya bukan nak minta ganti rugi atau saman tapi cukup kita bertemu untuk meminta maaf dan saya akan maafkan tanpa bersyarat juga. Namun jika tiada pihak yang tampil bertemu saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, peguam Abi Mursyidin berkata, pihaknya berharap individu terbabit untuk memadam status yang dimuat naik supaya berita fitnah tidak terus tersebar luas.

Sumber : HM Online

Leave a Reply