Input your search keywords and press Enter.

Usah Viralkan Keretakan Rumahtangga

Dalam zaman media sosial yang serba moden ini, masyarakat kita berlumba-lumba berkongsi segala hal kehidupan mereka untuk tatapan umum. Ada baiknya, namun ada juga buruknya jika segala-galanya mahu dikongsi. Dalam hal melibatkan kisah peribadi, perkahwinan, perceraian dan sebagainya, tidak perlulah didedahkan kepada umum.

Bila sebuah perkahwinan berakhir dengan perceraian, tentulah banyak kerumitan atau kontroversi yang timbul, dan ada juga yang membuahkan dendam di sanubari. Bila jiwa meronta diusik kekacauan, timbul sifat membara untuk memburuk-burukkan pasangan. Ada yang sekadar melepaskan geram, namun sebenarnya ini hanya akan mengundang porak-peranda yang lebih dahsyat lagi.

Masyarakat pula, termasuklah diri kita sendiri, mudah tertarik dengan isu-isu begini. Tanpa usul periksa kita terus menjatuhkan hukuman, terus mengongsikan kisah-kisah peribadi ini sesama kita. Selagi tidak viral, kita akan terus menghebahkannya pula kepada dunia.

Tulisan ini bukanlah berniat nak menggembar-gemburkan atau menambah perisa ke dalam lauk-pauk yang telah tersedia. Sebaliknya, bila kisah seperti ini mula tersebar dan keluar jadi tatapan dan perbincangan dalam khalayak ramai, berasa terpanggil pula untuk menyatakan pandangan dan nasihat, terutamanya dari sudut pandangan Islam. Bukankah ingat memperingati sesama kita adalah amalan yang dituntut?

Ada baik rasanya kalau kita mulakan dengan kembali kepada ayat Al-Quran dan Hadis.

Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Manakala dalam Hadis Riwayat Muslim ada menyebut bahawa. “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”

Daripada potongan ayat dan juga hadis ini, dapat kita simpulkan bahawa Islam amat memandang berat terhadap menjaga aib sesama Islam. Lebih-lebih lagi perkara yang membabitkan hal rumah tangga, keluarga dan hubungan sesama mereka, lebih baik jika ianya dibincangkan dalam keadaan tertutup.

Bila dihebohkan dan jadi buah mulut ramai, timbul satu lagi masalah besar yakni berkemungkinan besar ia boleh jatuh menjadi fitnah. Dan seperti yang ramai daripada kita tahu, Islam menganggap fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh. Nauzubillah.

Jika kita buka aib orang lain, tidakkah ada kemungkinan pihak satu lagi pula yang akan buka aib kita? Kalaulah kita betul sempurna dan yakin kita ini suci tapi jika kita sendiri banyak kelemahan serta sejarah hitam, bukankah tindak tanduk kita itu akan memalukan diri sendiri nanti?

Tidak lupa, kita juga merasa amat kasihan kepada pasangan yang menggembar-gemburkan kisah rumah tangga mereka buat tatapan umum, walaupun bertahun berpisah tetapi sebenarnya mereka masih mempunyai talian dari sudut kekeluargaan, kerana ada anak-anak hasil perkongsian hidup mereka sebelum ini.

Perpisahan antara suami dan isteri adalah amat menyedihkan, tetapi biasanya yang paling sedih dan paling terkesan akibat perpisahan ini adalah anak-anak itu sendiri. Lebih-lebih lagi dalam zaman serba moden ini, segala berita bergerak pantas hinggakan kanak-kanak juga ada akses kepada segala yang tersiar di alam maya.

Bayangkanlah, betapa sedih dan luluh hati anak-anak jika melihat, mendengar atau membaca hal rumah tangga, hal berkaitan ibu bapa mereka, dibincangkan, dijadikan gosip atau buah mulut oleh orang luar, oleh orang asing yang mereka tidak kenali?

Kita percaya dan kita terus berdoa agar, kebajikan anak-anak akan terus terjaga, kasih sayang tidak akan luntur kepada mereka, bahawa mereka boleh terus memandang tinggi kepada kedua-dua ibu bapa mereka.

Jadi berbalik kepada isu ini, mungkin lebih afdhal sekiranya perkara ini tidak dihebahkan menjadi tatapan umum. Kita tidak pasti belah mana yang cuba memporak perandakan keadaan demi populariti, simpati atau hasad dengki, namun tiada kebaikan yang akan timbul sekiranya hal ini menjadi buah mulut orang ramai yang tidak tahu menahu apa yang sebenarnya telah terjadi.

Biarlah ibu bapa menyelesaikan isu antara mereka, dengan cara mereka sendiri, sesama mereka yang telah dewasa. Biar anak-anak mereka dapat terus menghormati dan berkasih sayang dengan ibu dan bapa mereka seperti anak-anak lain. Jika ada keputusan yang buat pihak Mahkamah, akurlah, usah disemarakkan lagi api yang sedang membara. Percayalah dengan ketentuan Allah SWT. Dan percayalah, Allah menguji kita kerana Dia sangat kasih kepada kita.

Semoga Allah merahmati keluarga-keluarga yang berpecah ini, dan semoga kita semua terlindung daripada dosa fitnah. Insya-Allah

Leave a Reply