Input your search keywords and press Enter.

Jadi ‘pelatih’ Macau Scam, rupanya…

M Update, 20/2/2019 – PENAHANAN 47 rakyat Malaysia di Kemboja termasuk 40 daripadanya berasal dari Sarawak sejak 11 Disember tahun lalu, memberi petunjuk untuk membongkar penipuan dalam talian atau `Macau Scam’ yang kini sudah memperdaya ramai mangsa di Sarawak. Ia berikutan pendedahan beberapa mangsa kes penipuan pekerjaan itu dalam laporan polis yang mereka buat selepas dibebaskan dari Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja dan dibawa balik ke negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, sehingga semalam, seramai lapan mangsa iaitu enam lelaki dan dua perempuan sudah membuat laporan berhubung kes penipuan pekerjaan itu. Berdasarkan laporan itu, semua mangsa mendakwa mereka diarahkan untuk menghafal skrip menyamar sebagai pegawai bank atau mahkamah, modus operandi serupa yang digunakan oleh sindiket ‘Macau Scam’ memperdayakan mangsa.

Sebaik tiba di satu lokasi di Kemboja, mereka ditempatkan di sebuah rumah yang dikawal rapi dan mereka kemudiannya diarahkan menghafal skrip serta menyamar sebagai pegawai bank dan mahkamah. Mereka kemudiannya diarah membuat panggilan telefon kepada mangsa dan ia adalah sama dengan modus operandi sindiket `Macau Scam’ yang sudah memperdayakan ramai mangsa di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di Kuching.

Mustafa berkata, selain memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank atau mahkamah, ada juga mangsa yang mengakui diarahkan untuk mempromosikan judi dalam talian melalui panggilan telefon dan SMS kepada nombor telefon yang disediakan. Siasatan awal terhadap beberapa mangsa mendapati mereka tertarik dengan gaji lumayan antara AS$1,200 (kira-kira RM4,885) hingga AS$1,500 (kira-kira RM6,1000) dalam bidang perhotelan di Kemboja yang ditawarkan menerusi Facebook dan aplikasi WeChat.

Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu sanggup membayar yuran pemprosesan sebanyak AS$200 (kira-kira RM810) hingga AS$300 (kira-kira RM1,211) ke akaun bank dan kepada seorang rakyat tempatan Sarawak. Setakat ini, suspek warga tempatan yang disyaki terbabit dengan sindiket penipuan pekerjaan itu sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya sambil menjelaskan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber : HM Online

Leave a Reply