Input your search keywords and press Enter.

Rejimen ke-10 PKM

Pada tahun 1948, etnik minoriti Cina di Tanah Melayu membentuk 38% dari jumlah keseluruhan populasi (Melayu adalah majoriti 49%), namun terlalu sedikit yang bekerja dengan perkhidmatan awam dan juga pasukan polis. Daripada 10,000 orang anggota polis, hanya 228 terdiri dari kaum Cina. Akan tetapi adalah tidak benar jika kita katakan semua orang Cina menyokong perjuangan PKM. Sebahagian besarnya adalah mereka yang “diatas pagar”, sebagaimana yang kita tahu, mereka yang bekerja di luar bandar sebagai pelombong atau penoreh getah sering jadi mangsa ugutan PKM. Ada yang hilang diculik dan ada juga yang dibunuh dengan kejam di hadapan keluarga mereka jika enggan memberi sokongan kepada PKM. Sebahagiannya lagi memang anti-komunis dan menyokong Koumintang. Kekuatan PKM pula dianggarkan 6,500 anggota sebelum Darurat (majoritinya kaum Cina), dan mencecah 12,000 anggota pada tahun 1948, dengan 60% adalah veteran MPAJA. Disamping itu, PKM mendapat sokongan ribuan anggota Min Yuen (Gerakan Rakyat), yang bertindak sebagai pengintip, menyediakan bekalan lojistik dan juga rekrut-rekrut baru. Dalam tahun 1952, dianggarkan terdapat 11,000 anggota Min Yuen dan 4,000 darinya adalah anggota bersenjata. Dengan jumlah pasukan gerila yang besar begini, Tanah Melayu bolehlah dikatakan berada dalam situasi perang saudara.

Pada 21 Mei 1949, satu mesyuarat sulit telah diadakan di hutan Kerdau, Pahang yang dihadiri oleh Abdullah CD, Wahi Annuar, Musa Ahmad dan Chin Peng, dimana dalam perjumpaan itu, Ching Peng telah mengutarakan cadangannya untuk menubuhkan satu rejimen yang baru dimana anggota-anggotanya hanya terdiri dari orang-orang Melayu. Rejimen yang baru ini, akan diletakkan dibawah pimpinan Abdullah CD, dan Wahi Annuar dilantik sebagai Timbalan Komander, manakala Musa Ahmad pula dilantik sebagai Pegawai Politik (Political Officer). Chin Peng juga mengumumkan bahawa mereka semua adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), kerana sebelum ini kebanyakkan anggota Melayu yang menyertai PKM sebenarnya berhasrat untuk berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan melawan British. Malangnya, PKM telah mempengaruhi parti-parti haluan kiri dan menggunakan mereka sebagai platform mendapatkan kader-kader baru dari kalangan orang Melayu.

Leave a Reply