Input your search keywords and press Enter.

KETUA POLIS PERAK DITEMBAK MATI PENGGANAS KOMUNIS

Darurat pertama diisytiharkan di negara kita dari tahun 1948 hingga tahun 1970. Sejak dari tahun 1948 berlakunya darurat pertama sehinggalah ke tahun 1990, seramai 2,083 anggota keselamatan dan tidak kurang 2,000 orang awam telah mati dibunuh dengan kejam dan lebih 3,500 orang pejuang serta orang awam cedera dan ada yang cacat seumur hidup gara-gara perjuangan sampah pengganas komunis durjana. Pada kali ini, orangperak.com akan menceritakan kisah tentang kisah Ketua Polis negeri Perak yang telah ditembak mati oleh pengganas komunis. Parti Komunis Malaya (PKM) adalah satu pertubuhan yang pada asalnya dibangunkan untuk menentang penjajahan British yang pada ketika itu itu sedang memerintah Tanah Melayu. Apabila Jepun pula menduduki Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya (PKM) membentuk Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk berperang dengan mereka.

Tan Sri Khoo Chong Kong (DCP G/4218) adalah Ketua Polis di negeri Perak. Beliau pada asalnya adalah seorang anggota polis yang berkhidmat di negeri Sarawak dan telah ditukarkan oleh Polis Diraja Malaysia ke negeri Perak untuk dinaikkan pangkat dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis di negeri Perak Darul Ridzuan.

Kisah tragis yang melanda Ketua Polis Perak berlaku pada 13 November 1975. Apabila Tan Sri Khoo Chong Kong sedang dalam perjalanan pulang ke rumah beliau di Jalan Tower dari Jalan Raja DiHilir untuk makan tengah hari dengan menggunakan kenderaan rasminya. Terdapat 3 orang individu yang ada di dalam kenderaan tersebut iaitu pemandu, pengiring Sarjan Yeung Peng Chong dan juga Tan Sri Khoo Chong Kong sendiri. Apabila kenderaan rasmi yang membawa Ketua Polis Perak itu berhenti di lampu isyarat di Jalan Hospital, ada dua orang lelaki yang menunggang motosikal dengan menyamar sebagai pelajar dengan berpakaian seragam putih telah berhenti disebelah kenderaan rasmi Ketua Polis Perak tersebut. Dengan tidak semenanya, kedua-dua pengganas komunis itu terus melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pemandu, pengiring Sarjan Yeung Peng Chong dan juga ke arah Tan Sri Khoo Chong Kong. Pengiring Sarjan Yeung Peng Chong dan pemandu kenderaan rasmi Ketua Polis Perak dilaporkan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Tan Sri Khoo Chong Kong (Ketua Polis Perak) yang dalam keadaan kritikal sempat dikejarkan ke hospital berdekatan yang hanya sejauh 100 meter sahaja namun tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia kerana keadaannya yang cedera parah akibat tembakan dua pengganas komunis itu tadi.

Pembunuhan Ketua Polis Perak adalah salah satu daripada sasaran yang sudah dikenalpasti oleh pihak pengganas komunis. Terdapat banyak anggota polis dan kakitangan cawangan khas yang telah dibunuh sebelum pembunuhan Tan Sri Khoo Chong Kong dibuat. Semasa pengkebumiannya di Ipoh, seramai lebih 20,000 orang telah hadir termasuk Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tun Hussein Onn dan Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar. Untuk mengenang jasa-jasa Tan Sri Khoo Chong Kong, Yang di-Pertuan Agong telah memberi penghormatan tertinggi Tan Sri kepada beliau.

Leave a Reply