Input your search keywords and press Enter.

Festival Chingay Meriah

M Update, 26/2/2019 – Festival Perarakan Chingay 2019 berlangsung meriah apabila lebih 200,000 pengunjung membanjiri pusat Bandaraya Johor Bahru bagi menyaksikan perarakan sejauh lapan kilometer, malam tadi.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli mewakili Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyempurnakan majlis perasmian perarakan di Jalan Wong Ah Fook itu.

Tunku Ismail tiba di pentas utama di hadapan pusat beli-belah Komtar JBCC pada 9.10 malam.

Turut hadir, wakil rasmi Duta Besar China ke Malaysia, Chen Chen; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Tunku Ismail berkenan meluangkan masa lebih satu jam menyaksikan perarakan kereta berhias dan pelbagai persembahan tarian singa.

Pengunjung termasuk pelancong warga asing mula membanjiri bandar raya ini sejak jam 4 petang bagi menyaksikan perarakan tahunan kalendar pelancongan negeri itu.

Perarakan membabitkan beberapa patung tokong dan kereta berhias berarak dari Kuil Kuno di Jalan Trus hingga ke Kuil Xing Hong di Jalan Ulu Air Molek.

Orang ramai turut dihiburkan dengan pelbagai tarian tradisional dan kebudayaan masyarakat Tionghua serta persembahan nyanyian, alat muzik, tarian singa dan pertunjukan bunga api.

Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Datuk Seri Tey Kim Chai berkata, acara perarakan Chingay ini adalah satu acara agama dan budaya tradisi Tiong Hua yang berlangsung di Johor Bahru sejak 1870.

Perayaan ini membolehkan masyarakat Tiong Hua mempamerkan kebebasan agama dan kebudayaan kaum mereka tersendiri. Ia dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Johor Bahru dan masyarakat Tiong Hua.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply