Input your search keywords and press Enter.

Sultan Johor terima Sijil Kelayakan Pemandu Kanan Lokomotif KTMB

Foto ihsan Facebook Sultan Ibrahim

M Update, 1/3/2019 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menerima Sijil Kelayakan Pemandu Kanan Lokomotif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Dalam laman sosial Facebooknya, Sultan Ibrahim berkenan berkongsi gambar majlis penyerahan sijil itu yang berlangsung di Stesen Keretapi Kuala Lumpur, hari ini. Sijil itu diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Shamsudin kepada Sultan Ibrahim.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menerima Sijil Penghargaan kerana mencemar duli memandu tren terakhir Lokomotif Kelas 26 (26108 TG. KUPANG) keluar dari Stesen Tanjong Pagar, Singapura ke Stesen Johor Bahru pada 1 Julai 2011.

Dalam perjalanan itu, baginda diiringi dua pemandu lokomotif KTMB, Kamal Asmawi dan Supawi Ismail sambil meninjau keadaan kebersihan serta kemudahan pengangkutan rel demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Sebagai rekod, Sultan Ibrahim sudah memiliki lesen memandu kereta api sejak tahun 2010.

Selesai majlis terbabit, Sultan Ibrahim kemudian berkenan memandu tren khas bagi perjalanan Kuala Lumpur ke Johor Bahru hari ini, yang berlepas dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada jam 9 pagi sebelum berhenti di Stesen Keretapi Segamat.

Sumber : BH Online


Leave a Reply