Input your search keywords and press Enter.

5 PATI Ditahan ATM

M Update, 5/3/2019 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba menyeberang sempadan negara berdekatan ladang getah Bukit Tangga, semalam.

Warga asing berusia antara 19 hingga 23 tahun itu ditahan pasukan Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5RS) ketika melakukan rondaan pada jam 11.30 pagi di kawasan berkenaan.

Rondaan di Pos 1 diketuai Koperal Mohamad Darus Abu Noh terlihat dua lelaki bersama seorang wanita sedang berjalan di kawasan ladang getah menuju ke jalan utama Bukit Tangga.

Menyedari kehadiran kumpulan ronda, mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam semak, namun berjaya ditangkap. Selang setengah jam kemudian, kumpulan ronda menangkap seorang lelaki yang berjalan di kawasan ladang getah berhampiran Pos 3. Semua yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan sah.

Pada jam 4.30 petang, seorang lagi lelaki dipercayai etnik Rohingnya datang menyerah diri kepada anggota ronda berhampiran Pos 5.

Lelaki terbabit dalam keadaan keletihan dan meminta air minuman sebelum ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.

Beg, pakaian, barangan peribadi, wang tunai dan telefon bimbit dibawa semua PATI terbabit turut dirampas.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply