Input your search keywords and press Enter.

Gara-gara langgan pelacur

M Update, 7/3/2019 – SEORANG lelaki bukan sahaja tidak dapat melempiaskan nafsunya melanggan pelacur, malah ‘berputih mata’ apabila telefon bimbitnya dilarikan dua lelaki di hotel di Bandaran, Kota Kinabalu, Isnin lalu.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, lelaki berusia 22 tahun berhubung dengan wanita dikenali sebagai Mei melalui WeChat. Mei pada mulanya meminta bayaran sebanyak RM200 untuk melakukan hubungan seks dan mengarahkan pengadu datang ke bilik hotel di Bandaran.

Ketika pengadu tiba di hotel berkenaan, dua lelaki yang tidak dikenali dipercayai rakan Mei meminta wang RM30 dan telefon bimbit pengadu sebelum menemui Mei. Selepas mengambil wang dan telefon bimbit pengadu, suspek mengarahkan pengadu ke bilik untuk menemui Mei tetapi bilik itu tidak wujud. Menyedari dirinya ditipu, dia segera mencari dua lelaki itu tetapi gagal sebelum membuat laporan polis pada 12.05 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan laporan itu, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan dua lelaki terbabit, semalam. Siasatan mendapati, tujuan pengadu pergi ke hotel itu untuk mendapatkan khidmat seks daripada wanita Mei yang dikenalinya melalui WeChat.

Bagaimanapun wanita ini sebenarnya adalah dua lelaki terbabit yang menyamar sebagai Mei melalui WeChat,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Habibi berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 30 tahun ditahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Kes terbaru ini adalah kejadian kedua yang membabitkan penyamaran seorang perempuan melalui aplikasi WeChat yang memperdayakan lelaki yang kononnya menawarkan perkhidmatan seks. Sehubungan itu, saya mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu yang dikenali melalui aplikasi WeChat dengan menawarkan khidmat seks,” katanya.

Sumber : HM Online

Leave a Reply