Input your search keywords and press Enter.

Taiping Bandar Ketiga Terbaik Dunia

M Update, 8/3/2019 – Taiping dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2018 yang berlangsung di Berlin, Jerman, semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff, berkata beliau gembira dengan pencapaian itu dan ia adalah kejayaan bersama seluruh komuniti, termasuk agensi terbabit dalam usaha memastikan kelestarian bandar berkenaan.

Beliau berkata, anugerah berprestij dan bertaraf dunia terbabit julung kali diterima bandar bersejarah itu walaupun pernah menerima beberapa anugerah lain pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Harapan saya ialah semua agensi yang melaksanakan undang-undang berkaitan kelestarian alam sekitar dan pembangunan mapan, perlu terus komited menjalankan tanggungjawab masing-masing supaya bandar ini berterusan dilestarikan. Seluruh penduduk dan komuniti Taiping juga perlu terus berusaha memastikan kawasan bandar ini sentiasa bersih, terpelihara dan terhindar daripada kekotoran sampah serta kerosakan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abd Rahim mewakili MPT menerima anugerah itu di Berlin, semalam, dengan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing; serta Setiausaha MPT, Borhan Abdul Halim.

Pada majlis itu, Ljubijana, Slovenia, dinobatkan sebagai pemenang pertama, manakala Vancouver, Kanada, memenangi tempat kedua kategori sama. Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, MPT menghantar penyertaan untuk penganugerahan itu pada awal tahun lalu selepas dicadangkan seorang panel juri ‘Asean Clean Tourist City Award’ yang melawat Taiping dan melihat kelebihan serta keunikannya dari aspek ekopelancongan.

Beliau berkata, dalam penyertaan itu, MPT mengemukakan laporan dan input beberapa kawasan lestari dan kekal dipelihara seperti Hutan Paya Larut Matang, Kampung Dew, Kuala Sepetang, Kuala Trong, Bukit Larut, Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping & Night Safari serta Batu Kurau.

Sumber : BH Online

Leave a Reply