Input your search keywords and press Enter.

Agong – Rakyat perlu yakin dengan kerajaan

M Update, 11/3/2019 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah rakyat perlu terus yakin dengan pelbagai langkah yang diambil kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup.

Baginda bertitah, biarpun kesannya mungkin tidak segera dirasai, rakyat harus yakin dengan pelbagai tindakan yang diambil demi meningkatkan kesejahteraan mereka. Rakyat juga perlu realistik dalam meletakkan harapan kepada Kerajaan dan terus berusaha untuk memajukan diri ke arah meningkatkan kesejahteraan hidup.

Semestinya kerajaan beta akan sentiasa bersama-sama rakyat dalam mengharungi cabaran ini,” titah baginda pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. Turut mengiringi Al-Sultan Abdullah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan sedar peningkatan kos sara hidup adalah antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat. Justeru, titah baginda, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk dilaksanakan di seluruh negara bagi membantu rakyat termasuk menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

Di samping itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan dalam isu-isu kepenggunaan serta meningkatkan penguatkuasaan ke atas pihak yang mengeksploitasi harga dan mengambil keuntungan berlebihan.

Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan, antaranya penyelarasan gaji minimum, pemberian Bantuan Sara Hidup, subsidi bersasar, program ‘Food Bank’ serta peningkatan kualiti sistem penyampaian kerajaan,” titah baginda.

Baginda turut bertitah agar semua pihak, khususnya sektor swasta, berganding bahu dengan kerajaan untuk membangunkan ekonomi negara. Tahun lalu, titah baginda, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.7 peratus dengan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta manakala hutang RM1.9 trilion juga kekal terurus.

Dalam hal ini, beta menyambut baik Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dan Belanjawan 2019 yang telah mengambil kira aspirasi rakyat dan cabaran semasa supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dirasai oleh segenap lapisan masyarakat,” titah baginda.

Sumber : BH Online

Leave a Reply