Input your search keywords and press Enter.

PM nafi Siti Aisyah bebas melalui rundingan

M-Update,12/3/2019, KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan pembebasan warga Indonesia, Siti Aisyah daripada tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam semalam atas rundingan kerajaan Indonesia dan Malaysia. Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

“Ini keputusan yang dibuat oleh mahkamah, dia dibicarakan dan didakwa ditarik balik. Itu proses yang mengikut undang-undang, ada hak tarik balik pendakwaan, itu dilakukan.“Saya tak tahu perincian sebab-sebabnya tapi pendakwa raya boleh tarik balik pendakwaan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Kenyataan Dr. Mahathir itu walau bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna H. Laoly pada sidang media di Pejabat Kedutaan Besar Indonesia di sini, semalam yang berterima kasih kepada seluruh kepemimpinan kerajaan Malaysia terutama Dr. Mahathir dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Jelas Yasonna, kedua-dua pemimpin berkenaan yang memberikan maklum balas positif terhadap permohonan pihaknya untuk membebaskan Siti Aisyah daripada tuduhan terbabit hingga menjadi kenyataan, hari ini.

“Jokowi pernah mengadakan pertemuan tahun lalu dengan Dr. Mahathir untuk memohon perkara sama, malah saya sendiri pada Ogos tahun lalu ada bertemu Perdana Menteri Malaysia itu, Thomas dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di Putrajaya bagi memohon membebaskan Siti Aisyah,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh Jong-nam, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.

Siti Aisyah dan seorang warga Vietnam, Thi Huong, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 9 pagi 13 Februari 2017.

-Utusan

Leave a Reply