Input your search keywords and press Enter.

Pencemaran Kimia – Sultan Johor murka!

M Update, 13/3/2019 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, murka dan kesal terhadap pihak yang terbabit dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga memberi kesan buruk kepada murid dan orang awam.

Baginda bertitah mahu pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden itu dan pada masa sama melahirkan penghargaan terhadap pasukan perubatan yang bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada mangsa yang dimasukkan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, ratusan orang termasuk murid serta pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Malah, ada yang bertarung nyawa dalam ICU (Unit Rawatan Rapi)!

“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat. Saya menggesa semua pihak berkuasa kerajaan untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya.

“Saya berasa amat sedih apabila melihat ramai yang merana akibat tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan. Bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang hanya melakukan tugas seperti pemandu ambulans dan pekerja kantin sekolah,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim turut menasihatkan orang ramai, khususnya penduduk di sekitar kawasan kejadian supaya sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat.

Sekolah juga tidak harus dibuka selagi keadaan tidak benar-benar selamat untuk pelajar dan guru. Kurangkan juga seberapa banyak pergerakan di luar.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply