Input your search keywords and press Enter.

Operasi Indera 12 / Indera Khas 1/80 (Bentong) – 1980, VAT69 Commando PART 2

Pada 11 Mac 1980, enam hari selepas serangan udara dilancarkan, 2 pasukan ronda telah menemui sebuah lubang berhampiran satu denai. Disebelah lubang itu terdapat sehelai tuala putih kecil dengan kesan darah yang telah kering. Berdasarkan kesan di lokasi itu, komando VAT 69 menjangkakan jerangkap samar telah meletup dan mencederakan seseorang. Jangkaan itu disahkan 3 bulan kemudian, bila salah seorang rekrut baru pengganas komunis Parti Komunis Malaya (PKM) telah menyerah diri ke pihak berkuasa. Berdasarkan pengakuannya, salah seorang pengganas komunis telah cedera parah apabila jerangkap samar (bobby trap) yang cuba dipasangnya telah tiba-tiba meletup dengan sendirinya, mencederakan kaki dan tangannya. Beliau juga menceritakan, kerana telah kehabisan makanan, pasukannya telah mengarahkan sekumpulan 6 pengganas komunis ke Telemong untuk mendapatkan bekalan makanan mereka (food dumps) disana. Kebiasaannya, pengganas komunis mempunyai stor rahsia yang menyimpan bekalan makanan yang telah dibungkus dan ditanam didalam tanah. Menurutnya juga, mereka benar-benar tertekan dengan tembakan artileri dan serangan udara yang membuatkan mereka terpaksa terus bergerak walaupun kekurangan rehat dan kebuluran. Tekanan yang dialami tidak dapat lagi ditanggung terutama oleh rekrut-rekrut baru pengganas komunis itu. Kebanyakannya ingin menyerah diri kepada pasukan keselamatan, tetapi tidak tahu bagaimana caranya.

Laporan telah diterima oleh pejabat daerah Special Branch, dimana pemberi maklumat mengatakan beliau telah ternampak pergerakan beberapa orang asing di pekan Ketari yang terletak di persimpangan Kuala Lumpur – Karak – Bentong. Setelah disoal siasat, sungguhpun maklumat yang diterima tidak berdarjah tinggi, VAT 69 tidak mahu melepaskan peluang yang ada, walaupun kelihatan begitu tipis. ASP Rani dan ASP Annuar mengetuai 2 pasukan ronda dalam misi kali ini. Bagi pasukan mereka, ini adalah peluang untuk membalas dendam atas kecederaan yang menimpa anggota pasukan mereka pada awal operasi, iaitu Konstabel Halim dan Sarjan Yusoff yang telah putus kaki akibat jerangkap samar pengganas komunis.

Perancanganya adalah dengan memasukkan 2 kumpulan ronda (diketuai ASP Annuar) dengan berjalan kaki selepas waktu tengah malam untuk mengekalkan kerahsiaan, kerana pekan Ketari agak sibuk pada siang hari. Dua lagi pasukan ronda dibawah pimpinan ASP Rani akan digerakkan dengan kenderaan selepas tengah malam, ke suatu kawasan 5 kilometer ke utara pekan Ketari. Kesemua pasukan dijangkakan akan berjumpa disatu lokasi RV (rendezvous), di sebuah bukit bernama Spot Height dalam masa 48 jam. Pencarian oleh 4 pasukan ronda ini tidak mendatangkan apa-apa hasil. Mereka riba di RV kira-kira jam 5.30 petang, dan bercadang meneruskan rondaan sebelum senja tiba. Satu pasukan yang diketuai oleh tracker Orang Asli, Sarjan Apot telah menemui beberapa karung guni (gunnysack) dan 4 bekas tin bersaiz 4 gallon yang disembunyikan disebalik batu dalam ladang getah berhampiran Spot Height. Sarjan Apot juga dapat mengesan, kesan tapak kaki kecil yang tidak begitu dalam, kemungkinan kesan milik seorang wanita. Kesan tapak kaki itu masih baru, kira-kira sehari sahaja. Apa yang memusykilkan, kesan tapak kaki dan barang-barang yang dijumpai itu jauh dari aktiviti penoreh getah di kawasan tersebut. Memandangkan cuaca telah hampir gelap, pada jam 6.45 petang, pencarian terpaksa dihentikan. Malam itu mereka tidak memasang khemah dan juga tidak dibenarkan memasak makanan kerana terdapat tanda-tanda musuh berhampiran.

Keesokkan paginya, ASP Annuar telah terlihat satu kesan asap dari pembakaran. Beliau telah mengarahkan satu pasukan tinjau terdiri dari 3 anggota untuk membuat tinjauan kearah asap tadi. Mereka dapati 3 lelaki berpakaian awam sedang memasak dan melakukan beberapa aktiviti. Kesemuanya kelihatan normal, tetapi ada beberapa perkara yang meragukan. Pertama, penoreh atau pekerja yang membersihkan semak samun diladang biasanya membawa bekalan makanan, mereka tidak akan memasak ditempat kerja. Terdapat lagi 2 lelaki menyertai kumpulan 3 orang tadi. Mereka kelihatannya membawa beberapa helai baju yang dilipat. Biasanya para penoreh tidak membawa baju lebih, mereka datang dan pulang dengan basikal atau motorsikal dan tidak memerlukan mereka menukar pakaian selepas kerja. Kumpulan tinjau tadi segera kembali dan melaporkan penemuan yang mencurigakan itu. Maklumat kemudian segera disalurkan ke Markas Taktikal, dan mendapat arahan untuk bertindak dengan segera.

Kira-kira 50 meter dari sasaran, mereka meninggalkan beg-beg galas bersama-sama 2 operator radio yang mengekalkan komunikasi dengan Markas Taktikal. Mereka selaraskan jam masing-masing dan bergerak mengambil posisi menyerang. Perancangannya, satu pasukan ronda pimpinan ASP Annuar akan membuat serangan hadapan (frontal assault) manakala lagi 3 pasukan ronda pimpinan ASP Rani membentuk kepungan. Sebaik pasukan ASP Annuar mengambil posisi, 3 pengganas komunis dengan uniform telah menyertai 5 rakan mereka tadi. Kini terdapat 8 pengganas komunis semuanya, campuran lelaki dan wanita. Salah seorang pengganas didapati sedang menggosok gigi dan menyikat rambut kira-kira 25 meter dari posisi ASP Annuar, namun beliau tidak dapat mengambil apa-apa tindakan kerana tidak pasti jika pasukan penyekat ASP Rani sudah bersedia di dalam posisi masing-masing atau tiadk. Tambah lagi, waktu masih terlalu awal dari apa yang mereka rancangkan pada mulanya. Sebarang keputusan yang tidak tepat atau kegopohan boleh menjadikan musuh terlepas dan usaha mereka selama beberapa hari memburu menjadi sia-sia. Memandangkan koordinasi waktu serangan amat kritikal pada masa ini, ASP Annuar menahan diri dari mengambil tindakan dan menantikan waktu serangan yang telah dipersetujui pada awalnya.

Pasukan ASP Rani pula yang telah sedia di dalam posisi kepungan memerhati sahaja 8 musuh mereka di hadapan mata dengan jari di picu raifel masing-masing. Mereka juga merasakan debarannya dan tiada komunikasi yang boleh dibuat dengan pasukan ASP Annuar untuk memberitahu bahawa mereka telah bersedia diposisi yang ditetapkan. Lima minit kemudian, seorang lagi pengganas menghampiri posisi ASP Annuar, kali ini ASP Annuar melepaskan tembakan dan membunuh pengganas komunis tersebut serta-merta. Serentak itu, pasukan yang mengepung juga melepaskan tembakan. Pasukan pengganas komunis menjadi kelam-kabut, ada yang mahu lari tetapi dihalang oleh salah seorang dari anggota wanita mereka. Empat berjaya ditembak mati dan empat lagi melarikan diri dalam dua arah berasingan. Mereka yang melarikan diri adalah dua pasangan suami-isteri, dan bersembunyi disebalik semak samun. Markas Taktikal telah mengarahkan mereka ditangkap hidup-hidup, namun setelah menunggu selama 45 minit mereka enggan menyerah diri sebaliknya melepaskan tembakan. Sebutir bom tangan yang dilempar kearah mereka telah disepak dan meletup tidak berapa jauh dari lokasi persembunyian mereka. Kerana situasi yang mendesak dan tidak mahu ada kemalangan jiwa kepada anggota VAT 69, arahan telah dikeluarkan untuk menghapuskan kesemua saki-baki musuh. Kesemua 4 pengganas komunis telah berjaya dibunuh dan mayat-mayat mereka diterbangkan dengan helikopter ke Raub.

Orang pertama yang diberitahu tentang kejayaan ini adalah Tun Mohd, Haniff Omar, Ketua Polis Negara pada ketika itu. Beliau yang sedang berada dalam mesyuarat pegawai kanan polis memaklumkan perkara tersebut di dalam mesyuarat dan kemudian mengambil keputusan melawat Konstabel Halim dan Sarjan Yusoff yang masih dirawat di Hospital Besar untuk menyampaikan berita gembira tersebut. Setelah dimaklumkan atas kejayaan operasi tersebut, Konstabel Halim dan Sarjan Yusoff rasa terharu dan bangga kerana pasukan mereka berjaya membunuh 8 pengganas komunis, dan merasakan pengorbanan mereka tidak sia-sia.

Pemburuan diteruskan, kali ini pengganas komunis telah berpecah dalam kumpulan-kumpulan kecil dan cuba memadam kesan pergerakan mereka, menjadikan penjejakan semakin sukar. Dalam satu insiden Sarjan Hamzah telah cedera kerana terpijak jerangkap samar tapi bernasib baik kerana tidak serius. Pada penghujung operasi, satu kumpulan ronda VAT 69 yang diatur gerak ke Telemong untuk mencari stor rahsia pengganas komunis telah menemui beberapa bekas makanan dan bahan-bahan membuat jerangkap samar yang terdedah kerana hakisan tanah. Dua hari kemudian, semasa meronda, VAT 69 terserempak dengan seorang pengganas komunis yang sedang memasang jerangkap samar. Dia ditembak serta merta dan jatuh ke atas jerangkap samar yang dipasangnya tadi, menyebabkan berlaku letupan. Serentak itu 5 lagi pengganas komunis keluar dan berlaku pertempuran. Seorang lagi berjaya dibunuh dan selebihnya melarikan diri.

Pada 8 April 1980, pasukan VAT 69 direhatkan setelah 46 hari beroperasi. Pada 11 hingga 20 September 1980, mereka terlibat dalam Operasi Kambing, di kawasan Kuala Kubu Baru (KKB). 10 kumpulan ronda VAT 69 telah diatur gerak, kali ini setiap pasukan ronda telah diberikan kawasan operasi mereka sendiri. Mereka juga telah dilengkapi dengan alat pandang malam bagi membolehkan mereka membuat serang hendap pada waktu siang ataupun malam. Mereka juga memasang “Claymore mines” dan juga “trip flare” semasa menanti dalm posisi serang hendap. Kira-kira jam 10.15 malam, dalam satu posisi serang hendap, mereka ternampak cahaya kelam dari lampu suluh yang dihidup dan dimatikan berulang kali dalam masa yang singkat. Teknik begini biasanya dipraktikkan oleh pengganas komunis apabila bergerak pada waktu malam. Setelah cahaya tersebut berada kira-kira 20 meter dari pasukan serang hendap, tembakan dilepaskan selama 30 saat, tetapi tiada respon. Tiada pencarian dilakukan pada malam itu, dan esok paginya mereka menemui satu mayat pengganas komunis.

Tahun 1980 merupakan kejayaan cemerlang bagi VAT 69 yang mana mereka terlibat dalam 14 operasi yang mengambil masa selama 170 hari. Mereka menemui 6 kem musuh, 30 tempat rehat sementara dan berjaya membunuh 11 pengganas komunis, dan secara kebetulan, VAT 69 menyambut ulangtahun ke- 11 pada tahun itu.

Leave a Reply