Input your search keywords and press Enter.

KEMUNCULAN VAT 69 LEMAHKAN PKM

Kemunculan pasukan VAT 69, yang lebih dikenali sebagai 69 Komando atau Batalion 69 Komando, boleh dikatakan hampir serentak dengan kebangkitan Parti Komunis Malaya (PKM) memperhebatkan kembali perjuangan bersenjata mereka bagi menakluk dan seterusnya menjadikan negara ini sebuah republik melalui tindakan kekerasan, keganasan dan kekejaman.PKM kembali memperhebatkan perjuangan bersenjatanya pada 1969 mengambil sempena tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei, 1969 untuk mengeksploit krisis perkauman ketika itu untuk menakluk negara ini setelah PKM hampir lumpuh semasa kempen Darurat 1948 hingga 1960, yang turut dikenali sebagai Darurat Pertama.

Jawatankuasa Pusat PKM pada sambutan ulang tahun ke-20 Perjuangan Bersenjata Fasa Pertama telah mengeluarkan kenyataan bertajuk ”Hold High the Great Banner of the Armed Struggle and Valiantly March Forward” memberi isyarat PKM membakar semangat pengganas komunis untuk bangkit semula dalam konflik bersenjata dengan kerajaan Malaysia.Maka dengan kenyataan itu, bermulalah fasa kedua Perjuangan Bersenjata PKM yang berlarutan selama lebih 20 tahun lagi sehingga PKM meletakkan senjata pada 1989 dengan menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia di Hatyai, Thailand.

Ia merupakan perang yang tidak didedahkan tetapi tidak kurang keganasannya, di mana PKM melaksanakan dasar tidak ada keganasan terhadap orang awam dan hanya melibatkan perang dengan pasukan keselamatan di dalam hutan tebal termasuk dengan VAT 69.Ketika fasa kebangkitan semula itu, PKM membuat kerjasama dengan pertubuhan bawah tanah Tentera Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF), selain memperhebatkan serangan gerila ke atas pasukan keselamatan serta menubuhkan unit penggempur terbaru di Pahang dan Negeri Sembilan di bawah pimpinan seorang anggota Jawatankuasa Pusat PKM, Cheung Thian Thye yang lebih dikenali sebagai Chong Chor.Sebelum itu, Chong Chor yang merupakan Komander Unit Penggempur Kelima di Perak yang terpaksa berundur ke Betong, di sempadan Perak-Thailand setelah menerima tekanan daripada pasukan keselamatan semasa Darurat Pertama, diarah memimpin pasukannya mara semula ke Perak dan ditugaskan menubuhkan Unit Penggempur Keenam di Pahang sekitar tahun 1972.

VAT 69 yang ditubuhkan pada 1969 diberi tugas penting menjalankan risikan, mengumpul maklumat serta menjejaki pengganas komunis bagi menumpaskan gerakan komunis ketika itu.Sumbangan dan jasa VAT 69 terlalu besar dalam usaha menumpaskan gerakan PKM bersama-sama pasukan keselamatan yang lain, bagi mengekalkan keamanan untuk membolehkan kerajaan meneruskan pembangunan bagi memberi nikmat kepada seluruh rakyat negara ini.Jika ketika pusingan pertama insurgensi komunis semasa era Chong Chor, yang keganasan dan kekejamannya lebih dikenali daripada namanya, tetapi kehebatan VAT 69 pada era kedua insurgensi komunis itu lebih terserlah sehingga menyebabkan kegiatan dan gerakan PKM menjadi huru-hara dan tertekan.

VAT 69 ditubuhkan mengikut model Special Air Service (SAS) di Britain.

Ia merupakan sebahagian daripada Pasukan Polis Hutan (PPH) yang ditubuhkan pada 1969 oleh Tun Abdul Razak bagi memerangi habis-habisan gerakan komunis ketika itu.

VAT yang merupakan sebuah pasukan elit PPH diberi peranan penting bagi menjejaki kegiatan dan perancangan PKM, selain membuat risikan dan menyalurkan maklumat itu kepada pasukan keselamatan yang lain termasuk polis dan tentera untuk menggempur kem, pusat latihan dan tempat-tempat rahsia simpanan senjata dan makanan komunis di dalam hutan-hutan Malaysia.

Walaupun jasa mereka tidak pernah diberi penghargaan yang setimpal oleh masyarakat, namun perjuangan mereka sedikit pun tidak tergugat untuk mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.Anggota VAT 69 mempertaruhkan nyawa mereka dan mengorbankan keluarga mereka demi keselamatan negara dan memastikan negara ini terus berada dalam keadaan aman.

Ketika rakyat tidur lena anggota VAT 69 bersengkang mata dan meredah hutan tebal mempertaruhkan nyawa mereka demi kedaulatan negara.Selalunya mereka bergerak dalam kumpulan kecil antara tiga hingga enam orang bagi membolehkan pasukan keselamatan menggempur dan menawan semula kawasan-kawasan yang dikuasai komunis dan mengelakkan komunis menceroboh kawasan-kawasan penduduk.

Kehebatan VAT 69 memang diakui apabila berjaya membongkar dan mengesan tempat simpanan senjata dan barangan makanan yang disorok atau ditanam, dan kubu-kubu komunis di dalam hutan tebal di Semenanjung, selain membunuh anggota komunis dan melindungi perkampungan-perkampungan Orang Asli (ASAL) daripada ancaman komunis.

VAT 69 ditubuhkan pada 1969 apabila allahyarham Datuk Merican Sutan yang menjadi Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Bukit Aman mendapat inspirasi daripada kejayaan SAS menjalankan operasi di dalam hutan tebal dan bergerak dalam kumpulan kecil serta berjaya melepasi keadaan yang teruk dalam tempoh yang lama. Usaha mereka ini berjaya mengumpulkan maklumat risikan tentang pergerakan komunis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *