Input your search keywords and press Enter.

‘RAK AL-QURAN SELAMATKAN SAYA’ – MANGSA

CHRISTCHURCH: Ketika peluru menembusi tubuh jemaah ketika solat Jumaat, Abdul Kadir Ababora segera merebahkan diri di atas lantai dan berlindung di bawah rak al-Quran, sambil berdoa dia berpeluang melihat isteri dan anaknya lagi.

Keputusan itu jelas menyelamatkan diri dan beliau selamat daripada tragedi berdarah itu.

“Ia satu keajaiban. Apabila bangun, saya dapati kiri kanan saya cuma ada mayat,” katanya hari ini ketika melawat semula lokasi kejadian.

Seperti ramai jemaah lain yang berhimpun setiap minggu di Masjid Al Noor, Abdul Kadir berhijrah ke New Zealand untuk mencari kedamaian dan kemakmuran.

Pemandu teksi berusia 48 tahun itu berkata, beliau tiba dari Habsyah pada 2010 dan mencari kehidupan di bandar raya Canterbury.

Dua minggu lalu, beliau dan isteri menyambut kelahiran anak ketiga mereka.

Kelmarin, pengganas kulit putih dengan senjata separuh automatik, melepaskan tembakan di dua masjid yang mengorbankan 50 orang dan puluhan lagi cedera.

Abdul Kadir berkata, imam baharu memulakan khutbah ketika tembakan berlaku di luar.

Individu pertama yang dilihat ditembak ialah penduduk Palestin, yang juga pemandu teksi seperti Abdul Kadir.

Abdul Kadir berkata, beliau berjaya mengecilkan diri dan berlindung di bawah rak al-Quran.

“Lelaki itu menembak secara rambang. Selepas habis peluru, dia menggantikan kelopak dan menembak lagi.

“Saya cuma menanti saat kematian. Saya sudah hilang harapan,” katanya berdoa dalam diam dan teringatkan keluarganya. — AFP

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply