Input your search keywords and press Enter.

Hari Keputeraan Sultan Johor : Dua Acara Dibatalkan

M Update, 19/3/2019 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini menitahkan dua acara sempena Hari Keputeraan baginda, Sabtu ini iaitu Majlis Jamuan Teh serta Majlis Jamuan Negeri dibatalkan.

Menerusi entri terbaharu di laman rasmi Facebook baginda, Sultan Ibrahim membuat keputusan itu demi rakyat kerana sedih melihat ada di antara mereka yang sengsara akibat pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang.

Ramai yang terjejas kerana pencemaran sisa bahan kimia akibat dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, malah ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala sekolah juga masih ditutup.

“Saya membatalkan dua acara ini oleh sebab tidak mahu berada di majlis yang meriah, sedangkan ada rakyat yang masih menghadapi masalah dan masih menderita” titah Sultan Ibrahim.

Majlis Jamuan Teh itu dijadualkan berlangsung pada 24 Mac ini, manakala Majlis Jamuan Negeri pula sepatutnya diadakan pada 25 Mac.

Sultan Ibrahim bertitah, dengan pembatalan acara itu ia membolehkan petugas membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan dapat menumpukan pada kerja pembersihan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Sebagaimana kita tahu, ramai petugas yang juga penjawat awam dan pasukan keselamatan serta perubatan terbabit dalam operasi pembersihan, saya amat menghargai komitmen serta dedikasi mereka. Oleh demikian, saya berasakan adalah wajar untuk membatalkan acara ini demi rakyat dan pasukan petugas yang bekerja keras tanpa mengira waktu,” titah baginda.

Hari ini menyaksikan hari ke-12 operasi pembersihan dan pemantauan kualiti udara dijalankan pasukan serta petugas pembersihan Sungai Kim Kim sejak pencemaran sisa kimia dilaporkan berlaku di kawasan itu pada 7 Mac lalu.

Sumber : BH Online

Leave a Reply