Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Johan Debat Bahasa Arab Antarabangsa di Qatar

M Update, 21/3/2019 – Pendebat Bahasa Arab Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengharumkan nama universiti itu dan Malaysia apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) bagi kategori bukan penutur asal Bahasa Arab di Doha, Qatar, hari ini.

Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Strategik USIM di sini, pasukan pendebat itu dibarisi oleh Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Adam Fikry Bakru Razi, Siti Hamidah Hashim dan Suwaibah Mustapha. Muhammad Muzakkir dan Adam adalah penuntut jurusan Undang-undang dan Syariah manakala Siti Hamidah dan Suwaibah mengambil jurusan Bahasa Arab.

Pendebat USIM beraksi cemerlang di peringkat saringan apabila menewaskan pasukan debat dari University of Utah (Amerika Syarikat); University of Kerala (India); University New York (AS); Islamic University of Maldives (Maldives) dan European Institute of Human Science (Jerman). Pasukan USIM mengesahkan kemaraan ke pentas akhir apabila menewaskan pendebat Meridian Atuluku University, Turki di peringkat separuh akhir sebelum cemerlang di pentas akhir mengalahkan pendebat University Calgary, Kanada untuk muncul johan.

Sebagai juara, pendebat USIM menerima hadiah berupa piala dan sijil penghargaan dari penganjur iaitu Qatar Debate. Sementara itu, Muhammad Muzakkir selaku ketua pasukan berkata kejayaan ini dapat menebus kekecewaan USIM apabila hanya merangkul naib johan dalam kejohanan ini pada 2017.

Kami berjaya mengekalkan momentum persembahan dan fokus terbaik pada setiap perlawanan dari peringkat awal sehingga akhir,” katanya. Katanya, tekanan itu memang ada tetapi kami dapat mengawalnya hasil latihan intensif individu dan berkumpulan, pembacaan, pertandingan debat persahabatan dan pengalaman menyertai pertandingan debat sebelum ini.

Ini kejayaan yang manis bagi kami dan jurulatih Ahmad Norsyafwan Norwavi dan terima kasih kepada pengurusan USIM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta rakan Kelab Debat USIM atas doa dan sokongan,” katanya. Menurut kenyataan itu lagi, pasukan itu turut mencipta kejayaan berganda apabila dua pendebat iaitu Muhammad Muzakkir dan Suwaibah masing-masing tersenarai pendebat di ranking pertama dan kedua keseluruhan.

IUADC yang diadakan secara dwi tahunan ini telah memasuki edisi kelima sejak mula dianjurkan pada 2011. Pertandingan yang berlangsung di Qatar National Convention Center, Doha itu bermula pada 15 Mac dan berakhir hari ini dengan lebih 100 pasukan menyertainya.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply