Input your search keywords and press Enter.

Negeri Sembilan – Demam Denggi Meningkat

M Update, 26/3/2019 – Negeri Sembilan mencatatkan 682 kes demam denggi dengan tiga kematian dicatatkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Zainudin Mohd Ali berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 410 kes berbanding tahun lalu iaitu 272 kes dan tiada kematian, bagi tempoh sama.

Katanya, sepanjang Januari hingga hari ini, Seremban menunjukkan kes demam denggi tertinggi iaitu 546 kes manakala Port Dickson (38), Tampin (41), Kuala Pilah (13), Jelebu (12) dan Jempol serta Rembau masing-masing 16 kes.

Tiga kematian yang dilaporkan ialah dua lelaki berusia 56 dan 62 tahun meninggal dunia di Seremban manakala satu kematian membabitkan lelaki berusia 64 tahun di Port Dickson, pada Januari lalu.

Sebanyak lapan lokaliti wabak denggi masih aktif dengan masing-masing empat di Seremban dan Nilai.

Jika perlu, semburan aerosol hendaklah dilakukan bagi membasmi nyamuk dewasa di dalam rumah untuk mengelak jangkitan demam denggi.

Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan keadaan rumah bersih dan bebas dari tempat pembiakan aedes dengan membuat pemeriksaan di rumah setiap minggu.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply