Input your search keywords and press Enter.

Rakan yakin Acap selamat

FOTO:NSTP

M-Update,27/3/2019, “SAYA risau tetapi yakin Acap selamat dan boleh bertahan sampai kami menemuinya,” kata Mohd Efandey Sinin, 44, rakan kepada Mohamad Ashraf Hasan, 29, yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di kawasan Gua Tempurung, Gopeng, Perak, Sabtu lalu.

Efandey berkata, dia mengenali rakannya yang juga Pembantu Makmal Klinik Kesihatan Daerah Muar, Johor, itu sejak lebih lima tahun lalu kerana kerap menyertai aktiviti sukan lasak bersama.“Memang saya agak terkejut dan pelik juga. Dia bukan baru tetapi sangat berpengalaman dalam semua selok belok sukan ‘outdoor’ ini.

“Semua tujuh gunung tertinggi di Semenanjung berjaya dia tawan, malah kami selalu mendaki gunung di luar negara termasuk Indonesia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.Menurutnya, walaupun masing-masing berjauhan mereka tetap berhubung dan kerap bertemu terutama ketika menyertai program berkaitan aktiviti sukan lasak.

“Telefon dan WhatsApp menjadi penghubung saya yang tinggal di Kuala Lumpur dan dia di Muar, malah kami kerap bertemu bila ada penganjuran aktiviti luar.“Sebaik mendapat berita kehilangannya Ahad lalu, saya dari Kuala Lumpur terus bergegas ke Perak.

“Saya sanggup mengambil cuti menyertai usaha menjejakinya bersama pihak berkuasa kerana hanya ini saja mampu saya lakukan demi persahabatan kami,” katanya.Katanya, usaha pencarian sudah meliputi semua kawasan Bukit Batu Putih, lokasi terakhir rakannya itu dilihat.

“Setakat hari ini usaha carian sudah meliputi semua kawasan atas melalui pelbagai cara termasuk denai, trek pendakian, luar pendakian, lubuk resam dan sungai, namun masih tidak menemui Acap.“Jadi, bermula hari ini kami akan mengubah lokasi pencarian di bahagian bawah kawasan perkampungan dan tempat lain berhampiran.

“Doakan semoga usaha ini akan memberi kami petunjuk seterusnya berjaya menemuinya,” katanya.Kehilangan bapa kepada seorang cahaya mata itu masih menjadi misteri selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak Ahad lalu gagal menemui sebarang petunjuk.

–HMetro

Leave a Reply