Input your search keywords and press Enter.

Israk & Mikraj, Pengajaran Dan Ujian Keimanan

Israk dan Mikraj seperti yang kita ketahui berlaku dalam bulan Rajab adalah merupakan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil ‘Aqsa seterusnya diangkat pula ke Sidratul Muntaha. Peristiwa Israk dan Mikraj ini sebagai satu kemuliaan kepada baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islamiah dan setelah peristiwa kehilangan bapa saudaranya Abu Talib dan isteri baginda yang tercinta iaitu Saidatina Khadijah Binti Khuwailid. Peristiwa Israk Mikraj juga merupakan salah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW dan bukti kesetiaan para sahabat yang mampu berdiri teguh dibelakang nabi dan menguatkan keimanan dalam diri mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 1 yang bermaksud:

“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

Apabila peristiwa perjalanan Israk dan Mikraj tersebut disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada penduduk Kota Makkah, ramai yang menolaknya. Namun Saidina Abu Bakar al-Siddiq Radhiallahu Anhu menerima peristiwa tersebut dan dengan yakin dan dengan tegas menyatakan : “Aku percaya bahawa apa yang Muhammad ceritakan itu adalah benar dan bahawa dia adalah pesuruh Allah, aku percaya kepadanya tentang halhal yang lebih pelik dari itu. Aku percaya kepadanya tentang berita-berita dari langit yang dibawanya siang mahupun malam; maka bagaimana aku tidak mempercayainya tentang israknya ke Baitul Maqdis yang merupakan suatu kemuliaan yang dianugerahkan Allah kepadanya?”

Israk dan Mikraj bukanlah sekadar cerita biasa yang diulang dengar setiap kali menjelangnya bulan Rajab. Lebih daripada itu ia mengajak umat Islam untuk memperkukuhkan pegangan akidah dan mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang diperlihatkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu.

Antara peristiwa-peristiwa yang baginda saksikan sepanjang perjalanan Israk dan Mikraj yang merupakan tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah :

1. Diperlihatkan kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibril: Itulah perumpamaan kaum yang menginfakkan hartanya pada jalan Allah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Diperlihatkan sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali, Jibril memberitahu: Itulah gambaran azab orang-orang yang malas untuk mendirikan solat.

3. Diperlihatkan sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Jibril berkata itulah gambaran azab orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

4. Diperlihatkan satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging yang busuk sedangkan daging yang dimasak ada di sisi mereka. Jibril berkata: Itulah gambaran azab lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

5. Diperlihatkan lelaki yang lemas dalam sungai yang dipenuhi darah dan setiap kali meminta pertolongan dia akan dilontarkan batu. Jibril berkata: Itulah gambaran azab orang yang makan riba.

6. Diperlihatkan lelaki yang memikul seberkas kayu walaupun dia tidak berdaya memikulnya, tapi masih menambah lagi kayu yang lain. Jibril berkata: Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih mahu menerima amanah yang lain.

7. Nabi SAW diperlihatkan dengan sekelompok manusia yang menggunting lidah dan bibir sendiri berulang-ulang kali sebagai peringatan buat golongan yang suka menabur fitnah, menyampaikan berita-berita palsu dan pesanan buat orang yang mengajak kepada ketaatan tetapi dia sendiri tidak melakukannya.

Inilah sebahagian dari beberapa peristiwa yang digambarkan sebagai pengajaran dan pedoman untuk kita semua.

Kemuncak kepada peristiwa Israk dan mikraj ialah apabila Allah memfardhukan solat fardu sebanyak 50 waktu sehari semalam dan akhirnya dikurangkan menjadi 5 waktu seperti yang kita laksanakan sekarang tanpa mengurangkan pahala 50 waktu tersebut. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk menuruti segala perintahNya sepertimana perintah menunaikan solat 5 waktu sehari semalam walaupun ada yang merasakan ianya juga berat, maka Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 45:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”


Sesungguhnya peristiwa israk dan Mikraj memberitahu kita tentang pelbagai bentuk pendidikan dan pengajaran yang berharga, antaranya adalah:

1. Umat Islam hendaklah meyakini dan mempercayai berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj kerana ia telah disebut dalam al-Quran dan hadishadis yang sahih.

2. Umat Islam hendaklah menjauhi sifat-sifat buruk, keji dan perkara-perkara yang dilarang, bagi mengelakkan daripada diazab oleh Allah SWT. Sebaliknya berlumba-lumba melaksanakan sebanyak-banyaknya kebajikan di dunia ini.

3. Umat Islam hendaklah menolak golongan yang hanya berpegang kepada akal semata-mata yang menafikan wahyu Allah SWT seperti mempertikaikan peristiwa Israk dan Mikraj ini.

4. Umat Islam hendaklah mengambil berat dalam mendirikan solat lima waktu dan memastikan seluruh ahli keluarga mematuhi dan mentaati perintah tersebut walau dimana dan keadaan apa sekalipun.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (ali Imran : 90).

Sumber~Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a Reply