Input your search keywords and press Enter.

Larangan Merokok Ketika Memandu

M Update, 5/4/2019 – Selain pusat beli-belah, kedai makan dan pejabat, kerajaan perlu mempertimbangkan kempen kesedaran bagi menghalang perbuatan merokok di dalam kenderaan kerana mereka yang melakukan perjalanan dalam satu kumpulan terdedah secara langsung kepada asap rokok basi jika seorang daripada mereka merokok di dalam kenderaan itu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Mohamed Namazie Ibrahim berkata beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Perancis menguatkuasakan larangan merokok di dalam kenderaan persendirian, dengan mengenakan denda bagi mereka yang merokok jika ada kanak-kanak atau wanita hamil berhampiran.

Ini mungkin memerlukan pembabitan kementerian lain, bagaimanapun kami berpendapat ia perkara penting yang perlu ditangani.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian itu komited untuk menggubal, dalam masa terdekat, Akta Kawalan Tembakau secara berasingan, yang mewartakan semua tempat awam sebagai Kawasan Larangan Merokok dengan senarai tempat yang terhad untuk perokok menghisap rokok.

Dr Dzulkefly berkata, bukan hasrat beliau atau kementerian untuk mengisytiharkan merokok sebagai menyalahi undang-undang tetapi ia untuk memastikan orang ramai terutama wanita dan kanak-kanak tidak terdedah kepada asap rokok basi.

Dalam hubungan ini, Dr Mohamed Namazie berkata MMA menyokong hasrat kerajaan Malaysia itu kerana sebarang langkah untuk menggalakkan persekitaran bebas asap dan mengurangkan pendedahan kepada asap rokok basi sangat dialu-alukan.

Menurutnya, lebih 1.4 bilion orang, atau 20 peratus daripada penduduk dunia, dilindungi oleh undang-undang bebas asap yang komprehensif, justeru, ini adalah langkah yang tepat bagi Malaysia.

Dalam jangka panjang, langkah ini dapat membantu mengurangkan dengan ketara perbelanjaan negara bagi kos penjagaan kesihatan dalam merawat rakyat Malaysia yang menghidap penyakit dan penyakit yang berkaitan asap tembakau.

Leave a Reply