Input your search keywords and press Enter.

Indonesia Tahan 8 Individu Dalam Serbuan Pemerdagangan Manusia

M Update, 10/04/2019 –  Indonesia menahan lapan suspek semalam dalam apa yang digelar polis republik itu sebagai serbuan pemerdagangan manusia terbesar pernah dilakukan, membabitkan 1,200 mangsa yang dibawa ke luar negara sebagai pekerja domestik.

Polis berkata, mereka mengesan empat sindiket yang menyeludup mangsa ke Maghribi, Arab Saudi, Syria dan Turki dengan menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan sejak 2014.

“Ini adalah kes terbesar didedahkan polis nasional kerana ia membabitkan lebih 1,000 mangsa,” kata jurucakap polis nasional, Dedi Prasetyo dalam satu akaun rasmi Twitter.

Apabila mangsa tiba di negara tertentu, gaji mereka ditahan dan sesetengah didera secara seksual.

Beliau tidak mengatakan jika mangsa adalah lelaki atau wanita, namun majoriti rakyat Indonesia yang ke luar negara untuk kerja domestik adalah wanita.

Suspek ditahan Mac lalu, menurut media tempatan dan dijangka didakwa mengikut undang-undang anti-pemerdagangan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Ratusan ribu wanita pergi ke Hong Kong, Singapura, Malaysia dan Taiwan setiap tahun untuk kerja domestik, walaupun laporan penderaan meluas dan kehidupan hampir seperti hamba abdi.

Sejak 2015, Indonesia melarang wanita ke 21 negara Asia Barat susulan siri kes penderaan, namun permintaan tinggi amah menggalakkan penyeludup mencari jalan mengatasinya. -Reuters

Leave a Reply