Input your search keywords and press Enter.

Kim Kardashian Sasar Jadi Peguam Menjelang 2022

M Update, 11/04/2019 –  Bintang televisyen Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian, yang terkenal dengan rancangan realiti dan berkahwin dengan artis hip-hop Kanye West, kini belajar undang-undang dan berharap lulus peperiksaan menjadi peguam menjelang 2022, lapor majalah Vogue semalam.

Jutawan gaya hidup berusia 38 tahun itu yang memiliki 134 juta pengikut di Instagram, kini sedang membuat latihan amal di sebuah firma perundangan California sejak tahun lalu.

Selebriti itu berkata, beliau mendapat inspirasi belajar undang-undang selepas berjaya membuat petisyen kepada Presiden AS Donald Trump tahun lalu untuk mengampunkan Alice Marie Johnson.

Johnson, 63, seorang nenek, menjalani hukuman hampir 22 tahun penjara seumur hidup kerana menyeludup kokain.

Seminggu selepas bertemu Kardashian, Trump, juga bekas bintang realiti televisyen, memberi pengampunan kepada Johnson pada Jun 2018.

Bintang ‘Keeping Up With the Kardashians’ itu berkata, beliau dijemput dalam acara berbeza ke Rumah Putih untuk mengambil bahagian dalam kumpulan kerja berkaitan pengampunan dan rayuan.

“Saya merasakan seperti berupaya berjuang untuk orang yang sudah membayar kesilapan mereka kepada masyarakat.

“Saya merasakan sistem itu mungkin dapat berbeza dan saya mahu berjuang untuk memperbaikinya dan jika saya dapat mengetahui dengan lebih, saya dapat melakukan lebih lagi,” kata ibu tiga anak itu kepada Vogue.

Bapa beliau, Robert, adalah peguam bela kepada OJ Simpson yang dibicarakan kerana membunuh isterinya.

Kemasukan ke sekolah perundangan di AS biasanya memerlukan ijazah sarjana muda dalam mana-mana bidang. Kardashian hanya belajar separuh jalan di kolej dihadirinya, Pierce.

Namun sesetengah negeri termasuk California membenarkan bakal peguam menjalani latihan di sebuah firma perundangan selama empat tahun sebelum mengambil peperiksaan melayakkannya diiktiraf sebagai peguam.

Kardashian menjadi pelatih di sebuah firma perundangan San Francisco sejak tahun lalu dan berharap lulus peperiksaan menjadi peguam menjelang 2022.

Ketika ini, beliau dikatakan mengambil kes lain untuk pembebasan awal banduan. -AFP

Leave a Reply