Input your search keywords and press Enter.

Cadangan Meletakkan Seri Menanti, Ulu Muar Dan Jempol Di Bawah Naungan British

13 April 1876 – Pada tahun 1876, satu cadangan untuk meletakkan daerah Seri Menanti, Ulu Muar dan Jempol di bawah naungan British telah dikemukakan oleh Sir F. W. Jervois, Gabenor Negeri-negeri Selat kepada Kerajaan British di London. Cadangan itu juga bertujuan untuk melantik seorang Penghulu (Malay Captain) yang disenangi oleh Inggeris dan disokong oleh kebanyakan Suku.

Di samping itu seorang Wakil British akan dilantik bagi ketiga-tiga daerah tersebut untuk menyakinkan penduduk-penduduk di situ bahawa Kerajaan British sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka. Ini adalah berikutan daripada perebutan kuasa di antara Tuanku Ahmad Tunggal (anakanda kepada Yamtuan Imam) dan Tuanku Antah (anakanda kepada Yamtuan Radin) untuk jawatan Yamtuan Besar.

Ketiga-tiga daerah itu adalah di bawah kuasa Tuanku Ahmad Tunggal yang disenangi oleh Inggeris dan mendapat sokongan 10 daripada 12 suku Tubuh di Seri Menanti dan yang juga berpengaruh di daerah Jelebu dan Jale. Bagaimanapun Tuanku Ahmad Tunggal tidaklah diangkat oleh Datuk -datuk Penghulu Luak dan Orang Empat Istana sebagai pengganti ayahandanya (Tuanku Imam) yang baru mangkat kerana tidak suka dengan kelakuannya.

Kedudukan Tuanku Ahmad Tunggal sebagai Yamtuan Seri Menanti dicabar oleh sepupunya Tuanku Antah, anakanda kepada Yamtuan Radin yang diangkat oleh Orang-orang Besar dan segolongan anak-anak Raja sebagai Yamtuan pada tahun 1872. Tuanku Antah dan pasukannya yang dikatakan telah menyebabkan kekacauan di Sungai Ujung telah melarikan diri dari buruan British dan Datuk Kelana yang menyokong Tuanku Ahmad Tunggal.

Setelah Tuanku Antah lari meninggalkan Seri Menanti maka Dato’ Kelana Sungai Ujung, Dato’ Rembau dan Dato’ Jelebu mengisytiharkan diri mereka sebagai Penghulu-penghulu yang bebas dalam Luak atau Daerah masing-masing.

Pada 5 Jun 1876 Tuanku Antah telah sampai ke Johor dan mengadap Sultan Johor. Pada 6hb Jun, beliau telah pergi ke Singapura menemui Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Frederick Aloysius Weld. Dalam pertemuan itu Tuanku Antah telah menyatakan persetujuannya untuk bersahabat dengan Kerajaan British dan membantu British memujuk Dato’ Muar, Dato’ Jempol dan Dato’ Terachi, Dato’ Gunung Pasir, Dato’ Inas dan Baginda Tan Mas yang dikatakan telah sama-sama menyebabkan kekacauan (menyerang Balai Polis) Sungai Ujung itu supaya menyerah diri.

Dalam pertemuan itu juga Tuanku Antah meminta British supaya tidak campur tangan jika beliau ingin berperang semula dengan Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman (Syed Aman) untuk mengambil semula Seri Menanti. Di atas permintaan itu Sir Frederick menjawab, “Untuk menjaga keamanan Tuanku, sekarang baliklah Tuanku ke Seri Menanti dan menjadi Raja Seri Menanti sahaja. Sungai Ujung biarlah tinggal pada Syed Aman.

Dengan keputusan Gabenor British itu maka Tuanku Antah pun baliklah ke Seri Menanti dan menjadi Raja Seri Menanti sahaja yang berkuasa ke atas luak-luak Johol, Inas, Ulu Muar, Jempol, Terachi dan Gunung Pasir. Pada 23hb November, 1876 telah diadakan perjanjian di antara Tuanku Antah dengan Penghulu-penghulu Luak dengan disaksikan oleh Gabenor British untuk mengakui dan mengesahkan perlantikan Tuanku Antah sebagai Yamtuan Seri Menanti sahaja, dan bukan Yamtuan Besar atau ‘sultan’ Negeri Sembilan seperti yang dihajatkannya dahulu.

Bagaimanapun, perjanjian ini masih belum dapat meletakkan daerah Seri Menanti, Ulu Muar dan Jempol di bawah perlindungan British. Pada peringkat ini pihak British hanya mulai meresapkan kuasanya.

Hanya pada tahun 1889 (13hb Julai, 1889) barulah kawasan-kawasan itu terletak di bawah pengaruh dan perlindungan British dengan termeterainya perjanjian penubuhan Konfederasi Negeri Sembilan di antara Tuanku Muhamad ibni Almarhum Tuanku Antah dengan Penghulu-penghulu Luak, Konfederasi Seri Menanti di satu pihak dan Gabenor Negeri-negeri Selat di pihak yang lain.

Leave a Reply