Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan pertimbang tukar sistem cukai galak penggunaan produk tempatan – PM

M-Update,16/4/2019, CYBERJAYA: Kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan menukar sistem percukaian di negara ini dalam usaha menggalakkan penggunaan produk tempatan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak tahu mengapa dasar kerajaan ketika ini lebih cenderung menggalakkan import berbanding eksport.

“Saya tidak tahu kenapa kerajaan mempunyai dasar yang dilihat menggalakkan import berbanding eksport. Kita tidak berkhidmat dengan negara kita sendiri (menerusi dasar ini), jadi kita perlu menukar dasar kerajaan. Ini akan membabitkan perancangan dalam menstruktur semula cukai membabitkan industri tertentu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, menerusi pendekatan itu, lebih banyak produk akan dikeluarkan, sekali gus membantu pengurangan import, namun rakyat tidak boleh dipaksa membeli barangan keluaran tempatan walaupun ia menjadi dasar kerajaan.“Anda boleh bawa kuda ke air tetapi anda tidak boleh paksanya minum air itu,” katanya pada sesi soal jawab selepas Majlis Pembukaan Technomart Rel 2019, di sini hari ini.

Beliau ditanya peserta mengapa kerajaan mengenakan cukai kepada produk keluaran tempatan sedangkan ada produk import dikecualikan cukai.Perdana Menteri berharap rakyat Malaysia dapat mencontohi masyarakat Jepun yang cenderung membeli produk mereka sendiri.

“Rakyat Malaysia memandang rendah pencapaian kita sendiri. Jika kita buat kereta keluaran Malaysia, ia akan menjadi kereta paling teruk berbanding kereta buatan luar.“Disebabkan itu, banyak duit keluar sedangkan kita ada kemahiran bukan sahaja membina kereta api, malah kapal terbang dibina di sini. Jadi keupayaan itu ada.

“Jika anda memilih produk tempatan, lama-kelamaan kualiti produk itu akan bertambah baik. Jika anda tidak menggalakkan produk tempatan dan membeli barang import, tiada peluang bagi produk kita untuk sampai ke standard antarabangsa,” katanya.

–BHarian

Leave a Reply