Input your search keywords and press Enter.

Teknologi 5G manfaatkan sektor pembuatan negara

M-Update,16/4/2019, CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin pelaksa­naan kemudahan teknologi 5G yang menawarkan kelajuan data lebih pantas akan memberi manfaat besar kepada sektor pembuatan negara. Timbalan Menterinya, Dr. Ong Kian Ming berkata, ia turut disokong pelaksanaan program Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang bakal melihat pembangunan pesat dalam produk berteknologi dan sistem automasi lebih pintar.

“Dengan kepantasan data lebih tinggi khususnya melibatkan kesambungan rangkaian, ia akan memberi peluang terbaik kepada syarikat pembuatan di Malaysia bagi memanfaatkan sepenuhnya teknologi Industri 4.0 termasuk analisis data raya dan Objek Rangkaian Internet (IoT). “Kerajaan turut melihat syarikat-syarikat yang terlibat dalam menggerakkan teknologi 5G ini mempunyai peranan masing-masing bagi meningkatkan industri 4.0 selari dengan usaha pembangunan 5G di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi lawatan rasmi ke Pusat Latihan Global Huawei di Pusat Latihan Global Huawei Malaysia (MGTC) di sini semalam.Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan. Sebelum ini, Ketua Pegawai Sektor Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Gerard Lim Kim Meng memaklumkan teknologi 5G bakal dilancarkan dan digunakan secara komersial di negara ini menjelang tahun 2020 atau 2021.

Ketika ini masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik termasuk dari aspek standard, kawal selia dan naik taraf rangkaian sebelum teknologi berkenaan dapat digunakan.Sementara itu, menurut Michael, MGTC telah membantu latihan lebih daripada 10,000 tenaga kerja menerusi pelbagai program yang ditawarkan sejak 2012.

“MGTC merupakan pusat latihan pertama kami yang diba­ngunkan di luar China dan ia sekali gus menunjukkan kerjasama dagangan dan pelaburan erat antara kedua-dua buah negara. Huawei juga bakal bekerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi tempatan merangkumi keseluruhan ekosistem ICT.“Pusat latihan kami melatih sekitar 2,000 orang peserta setahun dan ia memperlihatkan komitmen syarikat untuk be­kerjasama dengan institusi pendidikan tempatan bagi melatih rakyat Malaysia dari golongan belia khususnya dalam bidang perkomputeran awan dan rangkaian 5G,” jelasnya.

Huawei pada Februari lalu telah memeterai Memorandum Persefahaman (Mou) dengan syarikat peneraju perkhidmatan penumpuan komunikasi digital, Maxis Bhd. dalam usaha melonjakkan teknologi 5G di Malaysia.

–KOSMO!

Leave a Reply