Input your search keywords and press Enter.

Pemulihan Bekalan Air Berperingkat Mulai Lewat Hari Ini

M Update, 25/4/2019 – Bekalan air dijangka kembali pulih secara berperingkat mulai lewat hari ini selepas kerja penambahbaikan penggantian komponen paip dan peralatan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), siap malam tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, berkata ia bergantung kepada lokasi sebagaimana dijadualkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebelum ini. LRA SSP2 kini dalam tempoh pemulihan dan pengoperasian semula yang dijangka akan mengambil masa sekitar 24 jam.

Katanya, sepanjang tempoh henti tugas dan pengoperasian semula loji, SPAN memantau secara rapi daripada awal kerja dimulakan sehingga ke tempoh pemulihan. SPAN akan terus memantau secara rapat dengan kerjasama SYABAS bagi memastikan bekalan air akan kembali dinikmati pengguna berdasarkan jadual yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerja penambahbaikan di LRA SSP2 yang bermula seawal jam 8 pagi semalam sudah siap dilaksanakan pada jam 11 malam tadi. Hal ini menepati tempoh masa yang dijangka oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd selaku operator dan SPAN selaku badan kawal selia perkhidmatan air ketika jadual pemulihan dirangka sebelum ini.

SPAN merakamkan setinggi penghargaan atas komitmen tinggi ditunjukkan warga SYABAS serta SPAN yang memberi sepenuh kerjasama menjayakan kerja-kerja dan pemantauan penambahbaikan LRA SSP2. Kesabaran pengguna adalah amat dihargai,” katanya. – BH Online

Leave a Reply