Input your search keywords and press Enter.

PM : Patuh Dan Hormati Perlembagaan

M Update, 25/4/2019 – Perlembagaan negara perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak, kegagalan berbuat demikian akan menafikan kedaulatan undang-undang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menegaskan, selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Suruhanjaya Reid ditugaskan untuk merangka Perlembagaan Persekutuan yang bebas dan menjadi undang-undang tertinggi untuk rujukan negara. Dipersetujui (dalam Perlembagaan Persekutuan) bahawa Tanah Melayu (kini Malaysia) akan menjadi (negara) demokrasi di mana rakyat akan memilih kerajaan.

Raja-raja menjadi ketua perlembagaan tanpa kuasa eksekutif. Kedudukan mereka dijamin oleh Perlembagaan, yang akan menjadi undang-undang tertinggi negara,” katanya menerusi paparan di laman blognya. Justeru, katanya, segala dokumen berkaitan perlembagaan negeri (atau Undang-Undang Tubuh Negeri) yang diisytiharkan sebelum pembentukan Perlembagaan Persekutuan, boleh dianggap terbatal.

Perlembagaan Johor dan Terengganu yang diisytiharkan sebelum ini terbatal oleh perlembagaan baru yang diterima oleh semua negeri di Malaysia. Oleh itu pada 9 Mei 2018, rakyat sudah mengundi untuk memilih Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata beliau, parti yang memenangi pilihan raya akan menamakan calon Perdana Menteri atau Ketua Menteri serta Menteri Besar dan pihak istana akan memberi perkenan. Sekiranya, Raja berperlembagaan menolak untuk menyokong dan mencadangkan calonnya sendiri serta menyokongnya, parti yang menang boleh menolaknya dalam dewan, melalui undi tidak percaya,” katanya.

Beliau menyoroti sejarah bahawa pada 1955, British memutuskan untuk mengadakan pilihanraya bagi 52 daripada 98 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan dan British percaya tiada satu pihak akan memenangi lebih daripada 49 kerusi bagi menuntut hak membentuk majoriti kerajaan.

Namun, Parti Perikatan yang diterajui UMNO, MCA dan MIC, menang 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, membolehkan mereka menuntut pembentukan kerajaan, sekali gus menggerakkan usaha ke arah kemerdekaan negara. – BH Online

Leave a Reply