Input your search keywords and press Enter.

Majlis Dasar Inovasi Malaysia untuk pacu pertumbuhan teknologi

M-Update,26/4/2019, KUALA LUMPUR: Majlis Dasar Inovasi Malaysia (MIPC) yang ditubuhkan September lalu akan menjadi platform untuk sektor swasta mengesyorkan inisiatif teknologi digital. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata MIPC akan dipengerusikan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan disertai pakar industri, pakar inovasi berpengalaman dan pemula niaga, rakan kongsi pembiayaan yang memiliki reputasi baik serta agensi kerajaan lain seperti MaGIC, Cradle dan Futurise.

“Peranan mereka adalah untuk memberi nasihat, memudah cara dan penjajaran antara industri dan untuk mencadangkan dasar atau peraturan yang sesuai untuk dilaksanakan. “Sementara saya telah menjelaskan mengenai hasrat kerajaan untuk meningkatkan penerimaan digital dan membina ekosistem yang bertenaga dan mampan untuk usahawan, kita juga memerlukan industri untuk meningkat dan menjadi rakan kongsi dalam proses ini,” katanya.

Gobind mengumumkan penubuhan MIPC itu ketika melancarkan HLX, hab inovasi pertama Malaysia di sini semalam.Terletak di Menara HLA di tengah Kuala Lumpur, HLX disokong oleh Hong Leong Group dan akan menjadi satu kemudahan sehenti bagi menemukan warga korporat dan pemula niaga di bawah satu sumbung untuk mempercepatkan inovasi dan memperkukuh ekosistem bagi pemula niaga di Malaysia.

Gobind berkata, kerajaan mahu badan korporat dan industri mempromosi, melabur dan bersatu dalam memastikan penerimaan digital yang meluas bagi memberi lebih dorongan kepada ekosistem pemula niaga untuk memacu inovasi.Beliau turut menyatakan bahawa kunci utama untuk mempertingkatkan ekonomi digital Malaysia ialah dengan memacu pertumbuhan pemula niaga teknologi digital dan keusahawanan negara di mana di seluruh dunia pemula niaga dan usahawan adalah jantung kepada ekonomi baharu.

Gobind berkata, usahawan digital memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi. “Mereka bersifat inovatif dalam pendekatan mereka, menanam persaingan sihat sesama perniagaan. Mereka juga mewujudkan lebih banyak pekerjaan, bermakna lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi yang lebih baik untuk negara,” katanya.

Ketika kerajaan sedang menggubal dasar dan peraturan yang akan menggalakkan inovasi, Gobind menekankan bahawa mereka harus menyelaraskan usaha dengan sektor swasta untuk mencapai persekitaran yang lebih kondusif bagi semua pemula niaga dan usahawan untuk berkembang maju. “Kami amat yakin perkongsian sektor swasta dan awam (PPP) akan memperkukuh sektor teknologi dan akhirnya mentransformasi Malaysia menjadi sebuah ekonomi yang dipimpin inovasi,” katanya.

Gobind berkata, HLX adalah hasil daripada PPP dan beliau menggesa semua pemain daripada sektor swasta untuk mengikut jejak langkah itu.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri, yakin MIPC akan mendorong perkongsian lebih bersinergi antara sektor awam dan swasta.

Beliau berkata, MIPC terdiri daripada dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Penyelarasan Industri yang meliputi bidang kolaborasi industri berhubung inisiatif Teknologi Digital manakala Jawatankuasa Campur Tangan pula memfokus hanya kepada campur tangan terhadap dasar dan peraturan.

“MIPC mempelawa syarikat teknologi, pelabur dan pemain industri yang relevan untuk berkongsi pandangan dan menawarkan cadangan untuk mempercepatkan inovasi dan pertumbuhan syarikat teknologi, yang berkisar kepada dasar kebangsaan dan caj pengawal seliaan,” katanya dalam kenyataan – BERNAMA

Leave a Reply