Input your search keywords and press Enter.

10 Maut, 8 Hilang Banjir Di Sumatera

M Update, 29/04/2019 – Seramai 10 maut dan lapan lagi hilang selepas hujan lebat beberapa hari menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Sumatera, kata pihak berkuasa hari ini.

Kira-kira 12,000 dipindahkan manakala ratusan bangunan, jambatan dan jalan raya rosak akibat cuaca buruk yang menjejaskan sembilan daerah atau bandar di seluruh Bengkulu, kata pegawai.

Air surut di beberapa tempat tetapi pegawai memberi amaran kerosakan penuh masih belum diketahui dan beberapa kawasan masih terputus hubungan.

“Impak bencana mungkin meningkat. Tanah runtuh dan banjir boleh berlaku lagi jika hujan lebat,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nughoro.

‘Bencana sampingan’ dalam bentuk penyakit kulit dan jangkitan pernafasan teruk disebabkan masalah kebersihan dan kekurangan air bersih kemungkinan berlaku, katanya.

Imej udara menunjukkan sungai melimpahi tebing dan membanjiri penempatan di beberapa bahagian wilayah berkenaan.

Dapur umum dan pusat pemindahan ditubuhkan untuk membantu kira-kira 13,000 penduduk yang terjejas akibat banjir manakala pasukan mencari dan menyelamat untuk pergi ke kawasan paling teruk terjejas dengan bot getah.

“Pengagihan bantuan sukar disebabkan jalan raya terputus oleh banjir dan tanah runtuh,” kata Nughoro, menambah jengkaut digunakan untuk membersihkan sampah di jalan raya. — AFP

Leave a Reply