Input your search keywords and press Enter.

Jepun Pertingkat Kawalan Keselamatan Menjelang Upacara Diraja

M Update, 29/04/2019 – Penyelam memeriksa parit sekitar Istana Diraja dan anjing polis menghidu kawasan semak hari ini ketika pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan menjelang era baharu Jepun ‘Reiwa’ Rabu ini.

Era baharu itu bermula apabila Putera Mahkota Naruhito mengambil alih Takhta Kekwa sehari selepas bapanya, Maharaja Akihito turun takhta, menamatkan era Heisei selama 31 tahun.

Polis meningkatkan kawalan keselamatan di Istana Diraja seluas 115 hektar didiami maharaja dan maharani di tengah ibu kota ini.

Pihak berkuasa memeriksa kawasan semak menggunakan batang besi untuk mencari objek tersembunyi sementara anjing pengesan berada berhampiran. Penyelam memeriksa air keruh dalam puluhan parit mengelilingi istana.

Akses orang awam ke perkarangan di hadapan istana akan disekat ketika upacara penurunan dan penerimaan takhta.

Kawalan keselamatan diperketat di kediaman Naruhito di hartanah diraja Akasaka, kata seorang pegawai polis.

“Kami akan meningkatkan keselamatan bagi menghalang tindakan luar biasa termasuk keganasan daripada berlaku berhampiran istana dan hartanah Diraja Akasaka serta jalan masuk,” kata pegawai yang enggan dikenali.

Kyodo News berkata, ribuan pegawai polis akan menyediakan kawalan keselamatan untuk upacara itu dan kemunculan di khalayak ramai oleh maharaja baharu Khamis ini apabila kumpulan besar orang ramai dijangka.

“Saya merasakan lebih ramai pegawai polis hari ini. Saya melihat agak ramai berbanding biasa,” kata Mariko Hiratsuka, 36, yang gemar berjoging di sekitar istana sekali seminggu bersama seorang rakan.

Polis hari ini enggan mengulas laporan media bahawa dua pisau ditemui pada meja bilik darjah Putera Hisahito, 12, cucu lelaki Maharaja Akihito.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan seorang lelaki menyamar sebagai pekerja binaan memasuki perkarangan sekolah menengah rendah di ibu kota ini, kata Kyodo News, memetik polis. -Reuters

Leave a Reply