Input your search keywords and press Enter.

Penularan campak Di AS, Dinasihat Dapatkan Vaksin Baru

M Update, 29/04/2019 –  Penduduk dewasa Amerika Syarikat yang mendapat suntikan vaksin mencegah campak beberapa dekad lalu mungkin terpaksa mengambil dos baru bergantung kepada bila mereka menerima suntikan dan pendedahan kepada risiko, kata pakar kesihatan awam yang memerangi penularan terbesar negara itu sejak virus berkenaan dihapuskan pada 2000.

Sehingga 10 peratus daripada 695 kes campak disahkan dalam penularan terbaru berlaku kepada mereka yang menerima satu atau dua dos vaksin, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Perangkaan itu menunjukkan apa boleh berlaku apabila sebilangan besar individu walaupun mereka menerima vaksin, terdedah kepada campak.

CDC mencadangkan individu yang tinggal atau mengunjungi kawasan penularan campak perlu memeriksa status vaksin dan mempertimbangkan untuk mendapatkan dos baru.

Pakar penyakit berjangkit di Universiti Perubatan Chicago, Dr Allison Bartlett, berkata ‘pendedahan berterusan kepada jangkitan’, adalah punca penduduk dewasa berisiko tinggi seperti pekerja kesihatan dinasihatkan supaya kerap mendapatkan dos kedua vaksin campak jika tidak pernah mengambilnya.

Namun mengetahui status vaksin boleh menjadi sukar, kata pakar.

“Ia sukar dan selalunya sia-sia kerana amat susah mendapatkan rekod lama,” kata pakar jangkitan berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Vanderbilt, Dr William Schaffner.

Penduduk yang divaksinkan di AS sejak 1989 berkemungkinan mendapat dua dos gabungan suntikan campak, beguk dan rubella (MMR) menurut garis panduan persekutuan, dan masih dianggap piawaian bagi perlindungan. — Reuters

Leave a Reply