Input your search keywords and press Enter.

Mahkamah Tolak Tuntutan Batal Naik Taraf Heathrow

M Update, 02/05/2019 – Datuk Bandar London, Sadiq Khan berserta beberapa majlis tempatan dan pertubuhan kebajikan alam sekitar semalam, gagal dalam tuntutan mahkamah bagi menghalang pelaksanaan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow (Heathrow).

Heathrow adalah lapangan terbang paling sibuk di Britain.

Dalam tuntutan mahkamah berkenaan, kesemua pihak terbabit cuba menghalang pembinaan landasan ketiga di lapangan terbang yang terletak di barat London itu.

Mereka mengemukakan tuntutan itu atas alasan pembinaannya bakal menimbulkan banyak kesan negatif, seperti pencemaran bunyi dan udara, kemusnahan habitat, kesesakan lalu lintas serta perubahan iklim.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan perundangan terhadap Setiausaha Pengangkutan, Chris Grayling berkenaan.

“Perbicaraan hanya bertujuan mendapatkan kesahan dan bukan mengenai merit berhubung Kenyataan Dasar Lapangan Terbang Kebangsaan,” kata Hakim Gary Hickinbottom, yang bersidang bersama Hakim David Holgate ketika membaca keputusan mahkamah.

Sementara itu, Grayling meminta agensi awam supaya tidak terus membazirkan wang pembayar cukai, dengan cubaan menangguhkan projek penting berkenaan.

Kerajaan parti Konservatif, pimpinan Perdana Menteri Theresa May menegaskan bahawa projek bernilai £14 bilion (RM75.17 bilion) itu akan merangsang ekonomi Britain ketika era selepas Brexit.

Pada masa sama, ia juga bakal mewujudkan sehingga 114,000 peluang pekerjaan menjelang 2030. – AFP

Leave a Reply